Al-Quran, manusia dan anjing

Isu anjing menjadi topik kontroversi agama di Malaysia baru-baru ini. - Imej janaan AI
Isu anjing menjadi topik kontroversi agama di Malaysia baru-baru ini. - Imej janaan AI
A
A
A

SEKALI lagi, isu anjing menjadi topik kontroversi agama di Malaysia. Baru-baru ini, penceramah selebriti, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz mencadangkan agar rakyat Malaysia secara amnya tidak lagi memelihara anjing.

Beliau menjelaskan bahawa beliau secara peribadi tidak menyukai kehadiran anjing termasuk anjing milik jiran yang bukan Islam.

Dalam mengutarakan hujah tersebut, beliau merujuk kepada mazhab dan sekatan agama yang berkaitan dengan anjing. Namun, amat ketara beliau tidak merujuk kepada al-Quran.

Bagi saya, ia adalah satu kekurangan yang serius dalam mana-mana hujah dikemukakan atas nama Islam. Mazhab mewakili himpunan ijtihad dan tafsiran para sarjana Muslim. Ia wajar dihormati tetapi ia bukanlah al-Quran.

Sebelum bertanya tentang apa yang dikatakan oleh mazhab, pastinya kita harus bertanya terlebih dahulu apa yang difirmankan oleh ALLAH SWT.

Jadi, apakah sebenarnya yang dikatakan oleh al-Quran mengenai anjing? Anjing disebut secara jelas dalam sebilangan kecil ayat al-Quran sahaja. Dalam surah al-A'raf ayat 176, anjing dijadikan sebagai perumpamaan.

Anjing itu menjelirkan lidahnya sama ada kamu menghalaunya atau membiarkannya. Ini adalah satu perumpamaan tentang perangai manusia. Ia bukanlah satu perintah untuk membela anjing dan bukan juga satu larangan mengenainya.

Kemudian, kita mempunyai kisah yang luar biasa tentang Ashabul Kahfi (Penghuni Gua). Dalam surah al-Kahf ayat 18, anjing mereka pula terhampar kedua-dua kakinya di ambang pintu gua.

Dalam ayat 22, ia disebut berulang kali ketika membincangkan jumlah mereka - tiga orang dan anjing mereka yang keempat; lima orang dan anjing mereka yang keenam; tujuh orang dan anjing mereka yang kelapan. Al-Quran memanggilnya dengan mudah sebagai 'anjing mereka' - kalbuhum.

Artikel Berkaitan:

Tiada sebarang kecaman diberikan. Anjing itu menemani sekumpulan anak muda yang beriman, yang kisahnya dipilih oleh ALLAH SWT untuk diabadikan dalam al-Quran.

Namun, ayat paling menarik mungkin sekali ialah surah al-Ma'idah ayat 4. ALAH SWT menghalalkan bagi orang mukmin untuk memakan apa sahaja ditangkap oleh haiwan pemburu yang telah dilatih.

Ayat tersebut berbicara secara umum tentang al-jawarih iaitu haiwan-haiwan pemburu tetapi menggunakan perkataan sangat menarik iaitu mukallibin dalam menggambarkan latihan mereka.

Mukallibin berasal daripada kata akar bahasa Arab yang sama dengan kata kalb - anjing. Inilah sebabnya mengapa Muhammad Marmaduke Pickthall menterjemahkan ungkapan tersebut sebagai haiwan yang 'kamu telah latih sebagaimana anjing pemburu dilatih'. Fikirkanlah tentang hal ini.

Ketika membincangkan latihan haiwan pemburu secara umum, al-Quran menggunakan bahasa yang terbit daripada perkataan anjing. Dari sudut linguistik, latihan anjing menjadi kayu ukur atau paradigma untuk melatih haiwan pemburu.

Dan untuk melatih seekor anjing pemburu dengan betul, ia memerlukan hubungan luar biasa antara manusia dan haiwan. Anjing tersebut belajar daripada arahan kita, mengenali isyarat kita, mengawal nalurinya dan bertindak demi tuannya.

Latihan sedemikian secara realistiknya tidak boleh berlaku melalui pengasingan fizikal sepenuhnya. Ia memerlukan pendekatan, belaian, pemberian makanan, sentuhan, bimbingan, ganjaran, penjagaan dan paling penting, kepercayaan.

Al-Quran tidak menyebut anjing sebagai 'kawan baik manusia' (man's best friend) tetapi saya berpendapat kawan baik manusia itu berada pada kedudukan amat selesa dalam gambaran al-Quran mengenai anjing.

KEMUDIAN MUNCULNYA HADIS

Hadis ialah sumber kedua yang penting bagi umat Islam. Di sinilah gambaran mengenainya menjadi lebih rumit.

Sesetengah hadis telah menyumbang secara ketara kepada sikap negatif terhadap anjing. Salah satu hadis menyatakan bahawa memelihara anjing kecuali untuk tujuan seperti berburu, ternakan atau pertanian akan mengurangkan pahala seseorang setiap hari. Al-Quran tidak menyatakan sedemikian.

Satu lagi hadis yang terkenal menyatakan: "Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat anjing atau gambar." Namun, kesusasteraan hadis turut memberikan sisi lain mengenai anjing.

Salah satu kisah paling indah menceritakan tentang seorang pelacur wanita Yahudi yang melihat seekor anjing hampir mati kehausan di tepi sebuah telaga.

Dia menanggalkan kasutnya, menimba air dan memberi anjing itu minum. Nabi SAW dilaporkan mengajar bahawa ALLAH mengampuni dosanya kerana perbuatan baik terhadap anjing itu. Alangkah luar biasanya pengajaran tersebut.

Seorang insan yang mungkin dikeji masyarakat menunjukkan belas kasihan terhadap haiwan yang dianggap kotor oleh sesetengah pihak dan perbuatan itu menjadi sebab kepada keampunan Ilahi. Jelas sekali, malah dalam kesusasteraan hadis itu sendiri, peranannya bukanlah sekadar 'anjing itu jahat'.

NAMUN AL-QURAN MESTI KEKAL SEBAGAI KRITERIA UTAMA

Di sinilah umat Islam perlu lebih berhati-hati. Al-Quran sumber utama kita. Hadis datang selepas itu. Nabi tidak mungkin mengajarkan sesuatu bercanggah dengan wahyu yang baginda sendiri patuhi.

Surah al-A'raf ayat 158 menyifatkan Muhammad sebagai: "...Nabi yang Ummi, yang beriman kepada ALLAH dan kalimah-kalimah-Nya. Dan ikutilah dia supaya kamu mendapat petunjuk." Maka, perintah untuk mengikuti Nabi Muhammad tidak boleh dipisahkan daripada sifat baginda sebagai seorang yang beriman kepada ALLAH dan kalimah-kalimah-Nya.

Inilah sebabnya mengapa saya telah berhujah selama bertahun-tahun agar para sarjana kita sentiasa meneliti semula korpus hadis berbanding al-Quran.

Ia tidak bermaksud kita membuang hadis yang tidak kita sukai begitu sahaja atau berpura-pura bidang ilmu hadis selama berabad-abad lamanya tidak mempunyai nilai. Tetapi sudah pasti al-Quran mesti kekal sebagai kriteria utama.

Perhatikan hadis yang menyatakan malaikat tidak akan masuk ke rumah yang mempunyai anjing atau gambar. Jika dibaca secara mutlak, ia menimbulkan persoalan apabila diletakkan bersebelahan dengan al-Quran.

Al-Quran memberitahu kita bahawa malaikat ditugaskan menjaga manusia. Mereka mencatat amal perbuatan kita, mengawal kita dengan perintah ALLAH dan akhirnya mengambil nyawa kita.

Jika seekor anjing mampu menghalang semua malaikat daripada memasuki sesuatu tempat, apakah yang berlaku kepada malaikat-malaikat ini?

Para sarjana klasik sendiri menyedari perlu mentakyidkan (membataskan) hadis tersebut dan lazimnya memahaminya sebagai merujuk kepada malaikat tertentu terutama malaikat rahmat.

Tafsiran sedemikian mungkin dapat menyelaraskan teks-teks tersebut tetapi perhatikan apa yang telah berlaku - kefahaman berasaskan al-Quran membantu kita menentukan bagaimana sesuatu hadis itu harus difahami.

Bagi saya, itulah hierarki yang sepatutnya berfungsi.

Jika kefahaman kita tentang sesuatu hadis jelas bercanggah dengan al-Quran, kita mesti mempertikaikan tafsirannya, konteksnya atau akhirnya sandaran periwayatannya. Menyandarkan kepada Nabi SAW sesuatu yang pada asasnya bertentangan dengan wahyu yang baginda patuhi adalah satu ketidakadilan - satu fitnah - terhadap Nabi kita sendiri.

BERBURU PADA ZAMAN DAHULU, BAGAIMANA PULA DENGAN HARI INI?

Terdapat satu lagi kesilapan yang harus kita elakkan. Sesetengah pihak berhujah bahawa anjing hanya boleh dipelihara untuk tujuan disebut secara khusus dalam sumber-sumber awal iaitu berburu, ternakan dan pertanian.

Tetapi cara berfikir begini berisiko mencampur adukkan contoh sejarah dengan matlamat yang mendasarinya.

Al-Quran berbicara tentang kuda, unta dan bentuk pengangkutan lain yang biasa digunakan masyarakat pada zaman itu.

Kita tidak membuat kesimpulan bahawa umat Islam tidak boleh mengembara menggunakan kapal terbang kerana kapal terbang tidak disebut di Tanah Arab pada abad ketujuh. Kita memahami fungsi asasnya iaitu pengangkutan.

Prinsip hujah yang sama wajar dipertimbangkan berkaitan anjing. Berburu adalah salah satu fungsi penting anjing terlatih pada zaman dahulu.

Hari ini anjing membimbing orang yang buta, membantu orang kurang upaya (OKU), mengesan bahan letupan dan dadah, mengesan orang hilang, mencari mangsa di bangunan runtuh, berkhidmat dengan pihak polis dan pasukan keselamatan, mengesan kecemasan perubatan, melindungi rumah dan keluarga serta menjadi teman.

Kegunaannya telah berkembang. Hubungan luar biasa antara anjing dan manusia tetap kekal. Ia menjadikan surah al-Ma'idah ayat 4 lebih menarik daripada sekadar isu berburu semata-mata. ALLAH telah menciptakan haiwan yang mampu diajar oleh manusia.

Malah, ayat tersebut menggambarkan kita sebagai pihak yang mengajar haiwan-haiwan ini 'daripada apa yang ALLAH telah ajarkan kepada kamu'. Ilmu mengalir daripada ALLAH kepada kita dan melalui kita kepada makhluk yang lain.

MUNGKIN MASALAHNYA BUKANLAH PADA ANJING ITU

Mungkin di satu peringkat dalam perjalanan kita, kita membenarkan kefahaman kita mengenai anjing menjadi lebih negatif berbanding apa dinyatakan oleh al-Quran itu sendiri. Dan di sinilah umat Islam perlu lebih berhati-hati. Al-Quran berulang kali memberi amaran agar tidak mengharamkan sesuatu sedangkan ALLAH sendiri tidak mengharamkannya.

Dalam surah an-Nahl ayat 116: "Dan janganlah kamu mengatakan apa yang disifatkan oleh lidah kamu dusta. Ini halal dan ini haram untuk mengadakan dusta terhadap ALLAH."

Dan surah Yunus ayat 59 pula mengemukakan satu persoalan lebih mencabar: "Adakah ALLAH telah memberi izin kepada kamu atau kamu membuat-buat dusta terhadap ALLAH?"

Perkara ini sepatutnya membuatkan setiap Muslim berhenti sebentar sebelum mengharamkan sesuatu atas nama Tuhan. Di manakah al-Quran melarang membela anjing? Al-Quran tidak pernah melarangnya. Di manakah al-Quran menyatakan anjing hanya boleh dibela untuk berburu? Al-Quran tidak pernah menyatakan sedemikian.

Sebaliknya, surah al-Kahf menampilkan pemuda-pemuda beriman yang ditemani oleh 'anjing mereka'. Surah al-Ma'idah mengiktiraf hubungan manusia dengan haiwan terlatih, bahkan menggunakan bahasa yang diterbitkan daripada perkataan anjing untuk menggambarkan latihan mereka.

Oleh itu, kita harus berhati-hati agar dalam keghairahan kita untuk menjaga agama, kita tidak mencipta larangan agama yang ALLAH sendiri tidak ciptakan.

Terdapat perbezaan yang ketara antara berkata:

"Saya secara peribadi tidak menyukai anjing" dengan "ALLAH tidak mahu kamu memelihara anjing."

Kenyataan pertama adalah keutamaan peribadi, manakala kenyataan kedua memerlukan bukti daripada ALLAH.

BAGAIMANA PULA DENGAN GAMBAR?

Sebelum kita mengakhiri perbincangan ini, mari kita kembali kepada hadis: "Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat anjing atau gambar."

Perhatikan satu perkara penting di sini. Ia bukan sahaja menyebut tentang anjing. Ia juga menyebut tentang gambar.

Para sarjana Muslim sendiri mengakui hadis ini tidak boleh difahami secara melulu tanpa tafsiran dan konteks. Mereka bertanya malaikat manakah yang dimaksudkan dan lazimnya menjelaskan ia merujuk kepada malaikat tertentu, terutama malaikat rahmat, bukannya semua malaikat.

Mereka juga mentafsirkan perkataan 'gambar'. Para sarjana membezakan antara pelbagai jenis imej, bagaimana ia dipamerkan dan tujuannya. Dengan kedatangan teknologi fotografi, tafsiran lanjutan menjadi satu keperluan dan para sarjana Muslim mempunyai pandangan berbeza mengenai cara gambar foto dan imej moden harus dikendalikan.

Dalam erti kata lain, perkataan 'gambar' dalam hadis yang sama ini telah pun ditafsirkan dan diletakkan mengikut konteksnya.

Dan pada hari ini, gambar ada di mana-mana sahaja - di rumah, sekolah, hospital, pejabat dan bangunan kerajaan kita. Gambar pemimpin kita dan kadangkala pasangan mereka dipamerkan di seluruh institusi kita. Telefon, komputer dan televisyen kita dipenuhi dengan pelbagai imej.

Maka, marilah kita mengemukakan beberapa soalan mudah. Mengapa kita begitu fokus terhadap anjing tetapi begitu sedikit mengambil peduli tentang gambar?

Jika para sarjana mengakui keperluan untuk mentafsir dan meletakkan 'gambar' mengikut konteks, mengapa kita tidak boleh mengamalkan ketelitian yang sama apabila mentafsirkan perkataan 'anjing' dalam hadis yang sama?

Dan memandangkan PU Riz telah membangkitkan perkara ini secara terbuka, mungkin beliau juga wajar merenung:

Adakah terdapat foto atau gambar di dalam rumah beliau sendiri?

* Anas Zubedy ialah Pengarah Urusan Anas Zubedy (M) Sdn Bhd, merupakan penulis isu kepimpinan, pengurusan dan dialog antara agama

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!