33 PATI 'kempunan' masuk Malaysia

Antara PATI yang ditahan ketika cuba memasuki negara ini secara tidak sah. - FOTO: Maritim Malaysia
Antara PATI yang ditahan ketika cuba memasuki negara ini secara tidak sah. - FOTO: Maritim Malaysia
A
A
A

PORT DICKSON - Cubaan membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui laluan laut yang tidak diwartakan berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Port Dickson pada malam Jumaat.

Operasi oleh Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan itu membawa kepada penahanan 33 warga Indonesia, termasuk seorang tekong.

Pengarahnya, Kapten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kejayaan penahanan tersebut susulan rondaan Op Benteng dan Op Tiris yang dilakukan pihaknya kira-kira jam 9.30 malam.

"Aset ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan telah mengesan sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.7 batu nautika barat daya Pantai Kuala Lukut, Negeri Sembilan.

"Bot berkenaan telah diarahkan untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan, namun telah bertindak memecut laju dalam cubaan meloloskan diri daripada pemeriksaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, Maritim bertindak mengejar bot terbabit sebelum berjaya memintas dan menahannya.

Kesemua PATI ditahan di perairan Port Dickson pada Jumaat. - FOTO: Maritim Malaysia
Kesemua PATI ditahan di perairan Port Dickson pada Jumaat. - FOTO: Maritim Malaysia

Ujarnya, hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit membawa seramai 33 individu berusia antara 13 hingga 58 tahun, terdiri daripada 21 lelaki dan 12 wanita yang kesemuanya warga Indonesia.

Artikel Berkaitan:

“Semakan awal mendapati kesemua individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah untuk berada di perairan Malaysia dan dipercayai cuba memasuki negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.

"Taktik menggunakan bot pancung melalui laluan laut yang sukar dikesan dipercayai merupakan antara modus operandi yang digunakan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Tambahnya, kesemua yang ditahan telah dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan serta siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

"Maritim Malaysia menegaskan bahawa tiada ruang untuk sebarang bentuk aktiviti penyeludupan migran yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

"Pemantauan serta rondaan berterusan akan dipertingkatkan, khususnya di kawasan perairan yang berpotensi dijadikan laluan masuk tidak sah, bagi memastikan sebarang cubaan menceroboh sempadan perairan negara dapat dikesan dan ditangani dengan pantas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!