Remaja bertahan tiga hari atas bot terbalik bersama dua mayat

ALASKA - Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun diselamatkan kapal nelayan selepas bertahan hampir tiga hari di atas sebuah bot kecil yang terbalik di perairan Selat Bering, menurut Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS).
Memetik laporan The Guardian, abang kepada remaja itu bersama sepupunya meninggal dunia selepas bot kecil berkenaan terbalik.
Mayat kedua-duanya ditemui selepas remaja itu ditarik ke kawasan selamat berhampiran Pulau St Lawrence, pulau terpencil di Alaska yang mana kedudukannya lebih dekat dengan Rusia berbanding AS.
Kapten kapal nelayan 'The Northwest Explorer', Adam White ketika misi menyelamat memuji keberanian dan ketahanan diri remaja berkenaan.
“Budak itu memang sangat kental. Kru kapal memanaskan remaja itu menggunakan selimut dan pek haba.
“Dalam keadaan masih mengetap gigi kerana sejuk, dia beritahu abangnya berada di bawah bot.
"Sepupunya pula terlepas daripada bot terbabit pada malam sebelumnya," kata White kepada pemberita pada Sabtu.
Pesawat dan helikopter pengawal pantai mula melakukan operasi mencari bot kecil itu sejak pagi Isnin selepas ahli keluarga melaporkan ketiga-tiga mereka hilang pada malam sebelumnya.
Pihak berkuasa bagaimanapun tidak mendedahkan identiti mereka.
Kumpulan itu dipercayai bertolak dari Pulau St Lawrence pada Jumaat dan merancang untuk pulang awal pagi Ahad.
Rakaman video operasi menyelamat menunjukkan remaja itu memakai jaket kuning terang sambil berlutut di atas bot kecil yang terbalik.
Anak kapal penyelamat kemudian mencampakkan seutas tali dan menarik bot kecil itu menghampirinya sehingga berjaya mengangkat remaja berkenaan ke dalam bakul penyelamat.
Remaja itu dilaporkan mengalami simptom hipotermia ketika berjaya menaiki bot berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
