Media sosial bukan musuh tetapi jangan sampai jadi hamba

Media sosial pada asasnya hanyalah sebuah mekanisme, di mana kesannya bergantung sepenuhnya kepada corak penggunaan seseorang. Gambar kecil: Yaty
Media sosial pada asasnya hanyalah sebuah mekanisme, di mana kesannya bergantung sepenuhnya kepada corak penggunaan seseorang. Gambar kecil: Yaty
A
A
A

DI dalam era dunia digital sekarang, media sosial seperti Tik Tok, Instagram, X (Twitter), Telegram, WhatsApp dan Linkedln telah menjadi platform penting yang menghubung komunikasi golongan muda terutamanya pelajar universiti.

Ia secara tidak langsung telah mengubah corak gaya hidup di menara gading dan seterusnya memberi kesan ke atas pembelajaran, hubungan sosial dan kesihatan mental para pelajar.

Walaupun media sosial memberikan banyak kemudahan dari segi capaian maklumat dan rangkaian perhubungan yang lebih meluas, namun sikap kebergantungan yang tinggi terhadapnya telah memberikan kesan yang mendalam terhadap pencapaian akademik dan kesihatan mental pelajar itu sendiri sama ada dari segi positif mahupun negatif.

Kesan positif: Pemangkin capaian maklumat, rangkaian perhubungan

Dari aspek positif, media sosial menyediakan platform yang berkesan dan luas dalam menggalakkan kolaborasi akademik dan perbincangan interaktif di kalangan pelajar.

Sebagai contoh, kumpulan pengajian diwujudkan di dalam Telegram atau WhatsApp bertujuan untuk melakukan perbincangan dan bertukar-tukar nota serta maklumat berkaitan tugasan yang boleh dilakukan dengan segera.

Linkedln pula dalam sudut yang lain membuka peluang kepada para pelajar untuk membentuk rangkaian perhubungan profesional dengan pakar industri bermula di peringkqt awal pengajian lqgi.

Di samping itu juga, media sosial menjadi mekanisme penting untuk palajar menmberikan pendapat, meningkatkakn kemahiran berkomunikasi, serta mengilap bakat keusahawanan digital.

Ramai pelajar yang telah berjaya menjana pendapatan sampingan yang lumayan melalui pemasaran affiliate dan penciptaan kandungan. Ini secara taidak langsung telah mengurangkan masalah kewangan dalam kalangan pelajar tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kesan negatif: Kesihatan mental dan gangguan fokus akademik

Bagaimanapun, penggunaan media sosial secara berlebihan telah menimbulkan banyak masalah. Sebagai contoh, gangguan tumpuan semasa proses pembelajaran.

Ini kerana para pelajar seakan mengalami ketagihan skrin dan sindrom Fear of Missing Out (FOMO), yang akhirnya telah menyebabkan pelajar berhadapan dengan kekangan masa dalam menyiapkan sebarang tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

Oleh itu, pelajar terbabit akan menangguhkan penghantaran sebarang tugasan seperti yang telah diarahkan oleh pensyarah sebelum ini.

Selain daripada itu, penggunaan media sosial secara berleluasa juga telah menyebabkan kualiti tidur para pelajar turut terjejas di mana jika ianya tidak dikawal, boleh menyebabkan masalah kesihatan dalam kalangan pelajar.

Manakala, dari aspek kesihatan mental pula, para pelajar menjadi lebih tertekan dan merasa rendah diri setelah sering melihat kehidupan orang lain yang dilihat seperti ‘fairy tale’ atau cerita dongeng yang disulami dengan segala kemewahan. 

Sebagai contoh, sering bercuti ke luar negara, menaiki kereta mewah, memiliki banglo besar, makan di restoran-restoran mahal, menginap di hotel-hotel lima bintang dan memakai atau menggunakan produk-produk mahal dan berjenama.

Isu buli siber dan penyebaran maklumat palsu juga secara tidak langsung telah memberikan tekanan emosi dalam kalangan pelajar di mana jika berterusan, ianya boleh menjejaskan presatasi akademik secara keseluruhan.

Memastikan penggunaan yang seimbang, beretika

Bagi mangatasi masalah ini, pihak institusi pengajian tinggi dan persatuan pelajar diminta untuk menjalankan peranan yang proaktif bagi memupuk literasi digital yang sihat.

Ia boleh dilakukan mengiatkan lagi kempen kesedaran tentang pengurusan masa, etika dalam talian, serta menempatkan perkhidmatan sokongan kaunseling bagi membantu pelajar mengatasi tekanan di alam maya.

Media sosial pada asasnya hanyalah sebuah mekanisme, di mana kesannya bergantung sepenuhnya kepada corak penggunaan seseorang.

Dengan mengamalkan disiplin diri yang tinggi dan kesedaran digital, para pelajar mampu menfaatkan media sosial sebagai pemangkin kejayaan dengan tidak mengorbankan kesihatan mental dan pencapaian akademik mereka.

*Profesor Madya Dr Yaty Sulaiman merupakan seorang pensyarah dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!