Di sebalik tindakan memotong barisan

Kesanggupan kita beratur mengikut giliran juga kita lakukan kerana kita percaya bahawa semua yang berbaris itu tidak akan melanggar peraturan beratur yang menjadi norma masyarakat. Gambar hiasan
Kesanggupan kita beratur mengikut giliran juga kita lakukan kerana kita percaya bahawa semua yang berbaris itu tidak akan melanggar peraturan beratur yang menjadi norma masyarakat. Gambar hiasan
A
A
A

BARU-BARU ini terjadi insiden seorang wanita bertekak dengan seorang lelaki yang menegurnya kerana memotong barisan kerana tidak mahu beratur. Pertengkaran mereka tular di media sosial. Frasa ‘Kau tahu aku siapa,’ terus menjadi meme dan parodi para netizen.

Kita yang mengikuti insiden ini mengakui bahawa wanita yang memotong barisan itu memang bersalah. Kita tidak suka dengan kenyataan ‘Kau tahu aku siapa?’ wanita itu. Kita menyokong lelaki yang menegur wanita itu.

Isu di sini ialah mengenai ‘beratur.’ Memotong barisan di kaunter atau hendak menaiki pengangkutan awam adalah tindakan melanggar norma masyarakat. Ia menggambarkan orang yang melakukannya telah mengenepikan hak orang yang terlebih dahulu beratur. Masyarakat madani tidak akan berbuat perlakuan seperti itu.

Beratur mengajar kita mengenai kesabaran. Dalam keadaan bila kita lambat tiba di tempat orang ramai yang sudah beratur, kita perlu bersabar dengan berdiri di tempat yang paling belakang. Itulah disiplin. Begitulah keadilan. Siapa cepat, dia dapat dahulu.

Kesanggupan kita beratur mengikut giliran juga kita lakukan kerana kita percaya bahawa semua yang berbaris itu tidak akan melanggar peraturan beratur yang menjadi norma masyarakat. Yang lebih penting ialah mengakui bahawa bila kita lewat, tempat yang selayaknya buat kita ialah di belakang sekali. Dengan melakukan itu, kita menerima kenyataan bahawa kita tidak semestinya akan berada di hadapan pada setiap ketika.

Betapa pun, beratur juga mempunyai sisi negatifnya. Sikap mahu beratur ini kadangkalanya menjadikan kita pak turut. Ada ketikanya kita beratur tetapi tidak tahu ke manakah hala barisan itu. Oleh kerana takut meninggalkan barisan, maka kita kekal berdiri dan mengekori orang yang di hadapan. Kerap kali terjadi, apabila kita membuka mulut untuk bertanya, baharu kita sedari yang kita beratur di barisan yang salah.

Namun, alangkah malang bila orang yang ditanya itu sendiri tidak tahu ke manakah hala barisan itu. Tanpa usul periksa, bila kita menganggap orang di hadapan tahu ke manakah arah barisan itu, walhal dia pun ikut-ikut beratur. Akhirnya masing-masing hanya membuang masa berbaris di tempat yang salah.

Setelah lama menunggu, seseorang mungkin menjadi terlalu sensitif apabila orang di hadapan hanya bergerak sedikit sedangkan di hadapannya terdapat kekosongan seluas dua langkah. Kerana tidak sabar, kita mula memarahi orang di hadapan seolah-olah bila dia melangkah memenuhi ruang yang kosong itu, kita akan bergerak lebih laju. Memang tidak, pun. Ia hanya perasaan kita.

Bila kita renungi, biasanya kita beratur untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan samada perkhidmatan kaunter oleh manusia ataupun perkhidmatan mesin seperti ATM ataupun mendapatkan minyak di pam petrol.

Artikel Berkaitan:

Meskipun beratur itu tabiat yang baik untuk semua, pihak yang memberikan perkhidmatan pula perlu peka dengan tahap servis yang mereka berikan. Masih lagi berlaku kes di mana orang ramai terpaksa beratur lama kerana kekurangan kaunter perkhidmatan yang dibuka. Orang ramai akan beratur dengan tenang apabila ruang mendapatkan layanan banyak disediakan. Contohnya seperti pintu-pintu tren MRT atau LRT.

Begitulah, beratur itu satu tabiat individu yang terpuji dan satu ciri budaya masyarakat yang menimbulkan pandangan baik masyarakat luar terhadap negara kita. Bayangkan apabila berebut menjadi budaya. Meskipun semua yang hadir akan memperoleh apa yang diingini, dek kerana tidak beratur, timbul keadaan mob psychology bila semua bimbang mereka akan hampa. Akhirnya, masing-masing hilang kewarasan lalu bertindak, maaf cakap… ala haiwan.

Berbalik pada insiden memotong barisan, walaupun kita mungkin turut menularkan video insiden ‘Kau tahu aku siapa,’ jangan lupa bahawa kita juga pernah memotong barisan! Kita potong barisan dalam jem jalan raya, memasuki lif bangunan atau potong barisan ambil lauk hidangan di majlis kenduri.

Bezanya, kita tidak pernah ditegur. Atau orang yang di hadapan mengambil sikap tidak kisah akan perlakuan kita. Lagi pula, kita ini bukannya siapa-siapa untuk membalas balik teguran orang, di atas pelanggaran adab beratur itu.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!