Bumi bukan milik kita?


BUMI bukan sekadar tempat untuk kita hidup hari ini. Ia juga amanah yang perlu dipelihara supaya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
Namun persoalannya, sejauh mana kita benar-benar menghargai alam yang menjadi tempat kita bergantung?
Perubahan cuaca, banjir, pencemaran dan kemusnahan alam bukan lagi isu yang jauh daripada kehidupan masyarakat. Sebaliknya, kesan semakin mudah dirasai dalam kehidupan seharian.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 1,345 kejadian banjir direkodkan di seluruh negara pada tahun 2024, meningkat daripada 809 kejadian pada 2023.
Jumlah itu bukan sekadar angka kerana setiap kejadian membawa kesan kepada kediaman, harta benda, pekerjaan dan kehidupan masyarakat.
Malah, laporan DOSM merekodkan jumlah kerugian akibat banjir pada tahun 2025 sebanyak RM636.9 juta. Walaupun jumlah itu lebih rendah berbanding RM933.4 juta pada 2024, angka tersebut tetap menunjukkan bahawa bencana alam membawa kesan ekonomi dan sosial yang besar.
Justeru, menjaga alam sekitar tidak sepatutnya dilihat sebagai tanggungjawab kerajaan atau agensi tertentu sahaja.
Masyarakat juga mempunyai peranan, daripada mengurangkan penggunaan plastik, mengurus sisa dengan betul, menjaga kebersihan sungai hinggalah mengelakkan pembaziran sumber.
Lebih penting, kesedaran ini perlu dipupuk sejak usia muda.
Sekolah boleh menjadi ruang terbaik untuk membentuk generasi yang bukan sahaja memahami kepentingan alam sekitar, malah menjadikannya sebahagian daripada amalan kehidupan.
Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan semua masalah alam dalam sekelip mata. Namun, setiap perubahan bermula dengan tindakan kecil yang dilakukan secara konsisten.
Bumi bukan milik kita untuk digunakan sesuka hati.
Bumi adalah amanah yang dipinjamkan untuk satu tempoh sebelum diserahkan kepada generasi seterusnya.
Persoalannya, apakah keadaan bumi yang mahu kita wariskan kepada mereka?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
