X

Kindly register in order to view this article
!

Sifat dermawan, empati Bill Gates

Bill Gates
A
A

PENGASAS bersama Microsoft, Bill Gates telah menjadi tokoh masyarakat paling lantang bersuara tentang pandemik koronavirus (Covid-19).

Gates, 67, yang mengasaskan syarikat perisian terbesar di dunia bersama Paul Allen pada April 1975 itu sentiasa cuba memberi pemahaman yang jelas dan penyelesaian kepada wabak itu yang kini menjangkiti lebih 2.25 juta individu di seluruh dunia.

Bilionair yang mempunyai nilai harta kekayaan lebih AS$100 bilion (RM437 bilion) itu juga mengulas dengan terperinci tentang kesihatan awam dan bagaimana penjarakkan sosial dan peranan kerajaan dapat meredakan pandemik tersebut.

Malah, beliau juga menyelar tindakan melulu Amerika Syarikat (AS) yang membekukan dana kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang disifatkan sebagai keputusan berbahaya.

“Tugas mereka adalah untuk memperlahankan penyebaran Covid-19 dan jika usaha itu dihentikan, tiada pertubuhan lain yang dapat menggantikan WHO. Dunia memerlukan WHO sampai bila-bila,” kata Gates sehari selepas Presiden Donald Trump mengumumkan keputusan kontroversi itu pada Selasa lalu.

Kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial itu turut meraih lebih 200,000 like.

“Saya bimbang dengan impak terhadap ekonomi dan lebih buruk lagi bagaimana ia akan memberi kesan kepada negara membangun yang gagal melaksanakan penjarakkan sosial seperti dilakukan negara maju dan keupayaan kelengkapan hospital di negara itu yang jauh lebih rendah,” ujarnya.

Sifat empati beliau terhadap krisis itu semakin jelas selepas Gates mengumumkan mahu menyalurkan dana tambahan berjumlah AS$100 juta (RM437 juta) untuk memerangi wabak tersebut pada Februari lalu.

“Ini adalah masalah global. WHO ialah sebuah institusi yang menyatukan negara dan memastikan kita berkongsi amalan terbaik antara satu sama lain,” ujar Gates ketika wawancara bersama stesen televisyen ABC News pada Rabu lalu.

Kenyataan itu turut dipersetujui isterinya, Melinda yang melihat WHO sebagai sebuah pertubuhan tepat yang dapat menangani wabak tersebut.

“Kami telah bekerjasama dengan WHO selama lebih 20 tahun. Tiada institusi yang sempurna. WHO yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua bertujuan untuk menangani isu seperti ini.

“Oleh itu, keputusan AS membekukan dana mereka adalah tidak wajar,” kata Melinda yang turut mengumumkan dana tambahan berjumlah AS$150 juta (RM655 juta) disalurkan daripada The Bill & Melinda Gates Foundation bagi membantu mempercepatkan penghasilan rawatan, vaksin dan langkah kesihatan awam untuk membendung wabak tersebut.

Difahamkan, yayasan tersebut adalah pemberi dana kedua terbesar kepada WHO selepas AS.

Dana tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan yang disumbangkan Yayasan The Bill & Melinda Gates Foundation kini mencecah AS$250 juta (RM1.1 bilion).

Di samping sokongan diagnostik, ubat-ubatan dan vaksin, tujuan utama dana Gates tersebut adalah untuk membantu negara miskin dan populasi yang berisiko untuk menghadapi penularan pandemik terbabit.

“Sebagai komuniti global, kita perlu menangani situasi yang baru bermula di negara Afrika dan Asia Selatan. Kami melihat keperluan yang amat besar. Oleh sebab itu, kami perlu melipatgandakan komitmen.

“Golongan itu yang perlu kami bantu untuk memastikan pemindahan bayaran tunai dapat dilakukan dan mereka mempunyai akses kepada rawatan kesihatan utama,” tambah Melinda lagi.

Ketika ini, yayasan pasangan tersebut sedang menyokong lapan projek bagi mencari penyelesaian berpotensi untuk penghasilan vaksin Covid-19 yang dijangka mengambil masa selama 18 bulan selain membiayai peningkatan keupayaan pengesanan virus di Afrika.

Sudah tentu, bilionair lain seperti Jack Ma yang merupakan pengasas syarikat perdagangan elektronik terbesar di China, Alibaba dan Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Jack Dorsey turut mengambil inisiatif menyalurkan dana untuk membendung Covid-19, namun ‘sumbangan’ mereka tidak sama seperti yang dilakukan Gates.

Sejak beberapa dekad lalu, Gates telah membiayai program penyelidikan dan beliau juga pernah memberi amaran tentang pandemik yang boleh meragut lebih 10 juta nyawa ketika mengulas topik The next outbreak? We’re not ready? (Wabak akan datang? Dunia masih belum bersedia) di TED Talk pada 2015 dan mengulangi ramalan sama dalam satu acara di Davos pada 2017. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!