Nur Aneesa raih emas karate di Jordan

ATLET karate negara, Nur Aneesa Aira Mohamad Affendi menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia selepas muncul juara acara kata individu remaja wanita pada Kejohanan Asia Kadet, Junior dan Bawah 21 Tahun (B21) 2026 di Amman, Jordan pada Selasa.
Pada aksi final di Dewan Prince Hamzah, Nur Aneesa Aira menampilkan persembahan kemas dan bertenaga untuk menewaskan wakil Taiwan, Chen Po-Jen dengan keputusan 4-1.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan lagu Negaraku berkumandang sebagai tanda kejayaan atlet pelapis kebangsaan berkenaan.
Tempat ketiga pula menjadi milik bersama Tawfeeq Jude dari Kuwait dan Khalil Habiba dari Emiriah Arab Bersatu selepas kedua-duanya tewas pada peringkat separuh akhir.
Dalam perjalanan ke final, Nur Aneesa Aira terlebih dahulu menewaskan wakil tuan rumah 4-1 pada suku akhir.
Beliau kemudian meneruskan momentum cemerlang pada separuh akhir dengan mencatat kemenangan bergaya 5-0 ke atas peserta dari Kuwait.
Kejohanan Asia Kadet, Junior dan B21 2026 itu berlangsung di Amman sehingga Khamis ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
