Dituduh malas bekerja, lelaki bunuh satu keluarga

Suspek ketika dibawa semula ke lokasi pembunuhan. Foto: DetikSulsel
Suspek ketika dibawa semula ke lokasi pembunuhan. Foto: DetikSulsel
A
A
A

PALU - Gara-gara berdendam selepas sering dituduh malas bekerja, seorang lelaki dipercayai membunuh rakan sekerjanya bersama isteri dan anak mereka yang baru berusia dua tahun di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia.

Kejadian berlaku di sebuah premis pemotongan ayam di Jalan PDAM, Kelurahan Duyu, Kecamatan Tatanga pada malam 26 Julai lalu.

Mangsa, Jamil, 32, bersama anaknya, Rizki, 2, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya, Nurhanisa, 32, dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal.

Bagaimanapun, Nurhanisa meninggal dunia pada 5 Ogos selepas 10 hari menerima rawatan susulan kecederaan parah dialaminya.

Menurut keluarganya, mangsa mengalami kecederaan pada beberapa organ dalaman serta pendarahan serius.

Polis mengenal pasti suspek sebagai Aan Kurniawan, 31, yang bekerja bersama Jamil di premis pemotongan ayam berkenaan.

Sebelum kejadian, jiran dilaporkan terdengar bunyi pertengkaran sekitar jam 10 malam selain ancaman yang dipercayai ditujukan kepada Nurhanisa.

Jamil maut akibat kecederaan tikaman, manakala polis mengesyaki anaknya meninggal dunia selepas dipercayai dibekap atau dihentak dengan objek.

Nurhanisa yang turut ditikam sempat meminta pertolongan daripada jiran sebelum dibawa ke hospital.

Artikel Berkaitan:

Selepas kejadian, Aan melarikan diri dan bersembunyi selama kira-kira sebulan di sebuah pondok sekitar kawasan likuefaksi Balaroa.

Dia akhirnya ditahan tanpa perlawanan di kediaman keluarganya di Kecamatan Palu Barat pada 26 Ogos selepas meminta keluarganya menghubungi polis kerana mahu menyerah diri.

Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Palu, Ismail Boby, siasatan mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan sakit hati suspek terhadap Jamil.

Suspek mendakwa mangsa sering mengatakan dia malas bekerja selain dia turut diberhentikan daripada pekerjaannya.

Aan kemudian menjalani lakon semula di lokasi kejadian sehari selepas ditahan bagi membantu penyiasat mendapatkan gambaran mengenai kronologi serangan.

Suspek kini ditahan dan berdepan beberapa pertuduhan mengikut undang-undang Indonesia berhubung kematian tiga mangsa berkenaan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!