Syukur kes Covid-19 tidak bertambah di Kelantan

Ahmad
Ahmad
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan bersyukur dengan perkembangan positif kes koronavirus (Covid-19) hanya tinggal sembilan pesakit masih belum sembuh sehingga semalam.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, perkembangan itu dimaklumkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin yang mana jumlah kes di negeri ini juga tidak berlaku pertambahan.

Menurutnya, sehingga semalam terdapat 155 kes dilaporkan dan daripada jumlah tersebut seramai 143 pesakit sudah sembuh.

“Kita bersyukur di Kelantan masih kekal dengan tiga kematian dan dengan pertambahan jumlah yang sembuh menunjukkan keadaan di sini stabil dan terkawal.

“Ini menggambarkan rakyat di negeri ini mematuhi arahan kerajaan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan berjaya,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Keselamatan Negeri Khas Negeri Kelantan Bilangan 7 Tahun 2020 di Kompleks Kota Darul Naim.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Bercakap perkara sama, Ahmad juga menzahirkan kesyukuran apabila Kelantan bebas zon merah dan 53 mukim diisytiharkan hijau manakala 12 lagi kuning.

Artikel Berkaitan:

“Kita perlu patuhi PKP dan ketika menyambut Ramadan ini mengelak daripada berkumpul beramai-ramai kerana kita bimbang bila berhimpun rantaian Covid-19 tidak dapat diputuskan,” katanya.