Kelantan laksana e-bazar Ramadan bantu peniaga

Ahmad (tengah) ketika menjelaskan berkaitan e-bazar Ramadan yang dilaksanakan bagi membantu peniaga di negeri ini.
Ahmad (tengah) ketika menjelaskan berkaitan e-bazar Ramadan yang dilaksanakan bagi membantu peniaga di negeri ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memutuskan untuk meneruskan e-bazar Ramadan bagi membantu peniaga di negeri ini.

Keputusan itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Keselamatan Negeri Khas Negeri Kelantan Bilangan 7 Tahun 2020 di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Menurutnya, ada beberapa peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi peniaga dan pembeli yang akan diumumkan kemudian.

“Kerajaan negeri akan membantu peniaga kecil ini menerusi e-bazar Ramadan dan ia diputuskan dalam mesyuarat hari ini.

“E-bazar ini akan diuruskan oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu ICT Gateway Sdn Berhad dengan kerjasama syarikat penghantar makanan OdaMakan,” katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Ahmad berkata, hasil perbincangan awal, kerajaan menetapkan setiap jajahan mempunyai pusat pengumpulan makanan dengan melibatkan peniaga yang berdaftar menerusi borang secara dalam talian disediakan syarikat tersebut.

Katanya, setiap pusat di jajahan nanti akan terhad kepada 40 pengusaha makanan dan peniaga sahaja bagi mengelak kesesakan atau menjadi tempat berhimpun.

“Kerajaan juga bersedia untuk menambah bilangan pusat pengumpulan sekiranya menerima banyak permohonan daripada peniaga untuk menjual makanan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, kita tetapkan tempahan boleh dibuat secara dalam talian sebelum jam 10.30 pagi dan makanan yang ditempah akan dihantar oleh syarikat penghantar makanan bermula jam 3.30 petang sehingga jam 6.30 petang.

“Orang ramai tidak perlu datang ke pusat pengumpulan makan kerana syarikat penghantar makanan akan menghantar ke rumah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Dijangkakan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan akan dimanfaatkan lebih 2,000 peniaga bazar Ramadan di negeri ini.

Sebelum ini, kerajaan Kelantan membuat ketetapan untuk tidak membenarkan penganjuran bazar Ramadan di negeri ini.