Bot meletup, 4 kakitangan Jabatan Perikanan cedera

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LUMUT - Empat kakitangan Jabatan Perikanan Perak nekad terjun ke laut selepas bahagian tengah bot jenis kevlar yang dinaiki mereka tiba-tiba meletup kira-kira satu kilometer dari Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan di sini pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, semasa kejadian kira-kira jam 9.22 pagi itu, terdapat enam kakitangan Jabatan Perikanan berada di atas bot berkenaan dan empat daripada mereka terjun ke dalam laut.

Katanya, keempat-empat yang terjun itu hanya mengalami cedera ringan akibat melecur dan kini dirawat di Hospital Seri Manjung, manakala dua lagi selamat.

“Sebaik tiba di lokasi, api telah berjaya dipadan dengan bantuan bot tunda milik syarikat Lumut Port yang mempunyai alatan memadam api, dan bot yang musnah terbakar 50 peratus telah ditarik berhampiran jeti," katanya ketika dihubungi.

Mohd Zaki berkata, bagi memastikan api padam sepenuhnya, pihak bomba turut membuat pancutan air dari tangki jentera penyelamat dan operasi tamat pada jam 10 pagi.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Perak, Zaki Mokri ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan semasa kejadian semua anggota terbabit dalam persediaan untuk penugasan operasi dan siasatan lanjut sedang dijalankan.- Bernama

Artikel Berkaitan: