Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 pacu pembangunan mampan

Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 merupakan dokumen dasar penting yang menjadi panduan hala tuju pembangunan negeri sehingga tahun 2040.
Rancangan ini dirangka bagi memastikan pembangunan fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar dilaksanakan secara terancang, inklusif serta mampan demi kesejahteraan rakyat.
Kerajaan Negeri Sembilan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan menerusi PLANMalaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atas penyaluran peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) bagi penyediaan draf ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri menjadi asas penting dalam merealisasikan pembangunan Negeri Sembilan yang progresif, berdaya saing dan mampan.
"Kerajaan Negeri Sembilan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khusus PLANMalaysia dan KPKT atas penyaluran peruntukan yang telah dimanfaatkan bagi menjayakan penyediaan Draf Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040.
"Sepertimana yang dimaklumkan oleh PLANMalaysia, penyaluran peruntukan tersebut telah disalurkan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) serta disokong dan dibimbing melalui peruntukan Kerajaan Negeri," katanya.
Beliau berkata, kerjasama dan sokongan strategik itu wajar dilaksanakan bagi memastikan usaha secara berterusan sebagai usaha memantabatkan sistem perancangan pembangunan negeri demi menjamin kemajuan dan kesejahteraan Negeri Sembilan secara mampan.
Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 adalah dokumen pembangunan yang sangat penting dalam menentukan corak pembangunan fizikal negeri secara menyeluruh.
"Dokumen ini merupakan panduan strategik yang merangkumi dasar-dasar yang menyentuh aspek ekonomi, sosial, alam sekitar, infrastruktur, pengangkutan, perumahan dan kesejahteraan rakyat yang disusul tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan.
"Kajian semula yang dilaksanakan ini telah mengambil kira perubahan semasa yang berlaku di peringkat global dan nasional termasuk perubahan iklim, perkembangan teknologi, transformasi ekonomi, mobiliti penduduk, keterjaminan makanan, pembangunan rendah karbon serta cabaran urbanisasi yang semakin kompleks," katanya.
Hala tuju pembangunan negeri
Ismail berkata, perancangan pembangunan negeri tidak boleh lagi dilaksanakan secara konvensional dan ia perlu bergerak ke arah pembangunan yang lebih pintar, berdaya tahan, inklusif dan mampan supaya Negeri Sembilan kekal kompetitif serta mampu memenuhi keperluan generasi masa hadapan.
Negeri Sembilan mempunyai kedudukan strategik di dalam wilayah tengah dan berpotensi besar untuk terus berkembang sebagai negeri tumpuan pelaburan, perindustrian, pendidikan, pelancongan serta pembangunan komuniti yang berkualiti," katanya.
Pada tahun lalu, Negeri Sembilan telah dinobatkan dengan Anugerah Negeri Paling Progresif 2024 oleh IBR ASEAN Awards 2025 atas pencapaian dalam pelbagai bidang pelaburan dan pembangunan.
Pengiktirafan itu berdasarkan penilaian 20 kriteria global termasuk keselamatan kewangan, kemudahan perniagaan, pelan masa depan dan kesejahteraan rakyat.
Secara tidak langsung, pencapaian itu mencerminkan pentadbiran proaktif dan berintegriti, selari dengan tema Stabil, Maju dan Makmur yang diketengahkan oleh kerajaan negeri.
Selain itu, prestasi semasa KDNK Negeri Sembilan menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan dengan nilai mencapai RM57.01 bilion pada tahun 2025 dan dijangka terus meningkat kepada RM109.12 bilion menjelang tahun 2040.
Peningkatan ini adalah selaras dengan pelaksanaan pelaburan projek berimpak tinggi khususnya di Zon Pembangunan Ekonomi (ZPE) Seremban dan Port Dickson dalam zon MVV 2.0 yang menjadi pemangkin utama pembangunan industri, pelaburan dan guna tanah negeri.
Pertumbuhan pesat itu juga dijangka memberi limpahan ekonomi yang signifikan dan memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan sebagai negeri maju dan berdaya saing," katanya.
Ismail berkata, peningkatan daya saing ekonomi itu juga mensasarkan perkembangan dari segi jumlah bilangan projek pelaburan di Negeri Sembilan dari 295 projek pelaburan (berjumlah RM19.1 bilion) pada tahun 2025 kepada 2,405 projek menjelang tahun 2040.
"Sasaran ini diperkukuh melalui cadangan 3 Kawasan Tumpuan. Sektor Pelaburan melibatkan 9 Parcel Pembangunan di dalam kawasan MVV dan 5 Flagship di luar kawasan MVV," katanya.
Dari segi ketersediaan tanah, Negeri Sembilan mempunyai keluasan kawasan yang signifikan dan berpotensi tinggi untuk diterokai serta dibangunkan secara strategik, memandangkan tahap tepu bina semasa hanya sekitar 12.55 peratus.
Keadaan tersebut mencerminkan kapasiti pembangunan negeri yang masih luas dan berdaya saing untuk menampung pertumbuhan ekonomi, peluasan aktiviti perindustrian, pembangunan bandar baharu serta kemasukan pelaburan domestik dan asing pada masa hadapan.
Selain pembangunan industri berteknologi tinggi dalam zon MVV 2.0, perancangan pembangunan Negeri Sembilan turut mengambil kira pembangunan Zon Promosi Pertanian antara Daerah Tampin, Jempol, Rembau dan Kuala Pilah yang akan memainkan peranan sebagai pusat katalis aktiviti pertanian di Negeri Sembilan.
Manakala bagi daerah Jelebu pula, sektor pelancongan biodiversiti dan ekopelancongan akan diberikan penekanan.Pembangunan yang disasarkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan juga disokong oleh kadar pertumbuhan penduduk yang pesat dan diunjurkan terus meningkat dari 1.2 juta penduduk pada tahun 2025 kepada 1.6 juta penduduk menjelang 2040.
"Saya mahu setiap strategi dan cadangan pembangunan yang dirangka melalui Rancangan Struktur Negeri ini bersifat realistik dengan memanfaatkan segala potensi yang ada di negeri ini seterusnya memberi faedah kepada rakyat," katanya.
Pembangunan mampan dan teknologi
Dalam masa yang sama, Ismail mahu pendekatan pendigitalan dan penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) diterapkan dalam pengurusan pembangunan dan sistem penyampaian kerajaan.
"Ini bertujuan untuk memastikan proses membuat keputusan menjadi lebih cekap, tepat dan responsif terhadap keperluan rakyat selain peka dan berada di landasan yang tepat terhadap sasaran neutral-carbon negeri dan negara.
"Apa yang paling penting ialah pembangunan yang dirancang mestilah mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan peluang pekerjaan, perumahan yang berkualiti, kemudahan awam yang baik, sistem pengangkutan yang efisien serta persekitaran yang selamat dan kondusif serta mampu mendepani cabaran geopolitik global dan berdaya tahan," katanya.
Selamat Menyambut HARI KEBANGSAAN 2026
Cetusan Ilham Daripada
YAB Dato' Haji Ismail bin Lasim
Menteri Besar Negeri Sembilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
