Empat remaja dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di pantai

KOTA TINGGI – [DIKEMAS KINI] Empat remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Pantai Tanjung Lompat, Tanjung Balau, Penawar di sini pada Rabu.
Dua lagi bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba di lokasi tiba.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pegawai Bomba Kanan I Muhammad Adib Tarmuzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.19 pagi.

"Operasi membabitkan enam anggota bersama sebuah jentera FRT itu masih berlangsung ketika ini.

"Kesemuanya berumur 16 tahun dan difahamkan mereka datang berkhemah serta mandi di Tanjung Lompat.
"Maklumat lanjut termasuk keadaan kesemua mangsa masih dalam proses pengesahan," ujarnya dalam kenyataan.
Dalam kejadian pagi Rabu, empat remaja lelaki berusia 16 tahun iaitu Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, Mohamad Haiman Fitri Supian, Muhammad Adib Hafiy Kamal dan Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor dikhuatiri lemas selepas mandi-manda ketika berkelah di Pantai Tanjung Lompat.
Dua lagi rakan mereka, Mohamad Faqrul Isqandar Abdullah dan Muhammad Afiq Ruzaini Mazlan, 16, bagaimanapun berjaya diselamatkan orang awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

