Boleh dikenakan tindakan jika tidak pamer tanda harga makanan

Low ketika menjalankan pemeriksaan Ops Bersepadu di restoran sekitar Bangsar.
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) memberi amaran terhadap premis makanan untuk mempamerkan tanda harga.

Kesalahan itu dikesan menerusi Operasi Bersepadu di Bangsar, di sini, kira-kira jam 4.30 petang, tadi.

Operasi tersebut dilaksana dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kuala Lumpur, Low Swee Hon berkata, dari segi Akta Perihal Dagangan, empat buah premis yang diperiksa ini mematuhi peraturan ditetapkan dan tiada sebarang pelanggaran berkaitan isu halal.

"Bagaimanapun dari segi penandaan harga, terdapat perkara yang kurang jelas kepada masakan yang dijual.

"Kita telah beri amaran pada restoran terbabit untuk pamer harga makanan dan kita akan datang semula dalam tempoh seminggu untuk pemeriksaan susulan," katanya kepada pemberita setelah selesai operasi tersebut.

Beliau berkata, selain itu, empat notis telah dikeluarkan oleh pihak SSM untuk premis terbabit membaiki pameran papan tanda restoran dan memaparkan sijil daftar perniagaan.

Mengulas lanjut, KPDNHEP WPKL sejak Jumaat lalu telah membuat pemeriksaan di 31 buah restoran seluruh ibu negara dengan memfokuskan sijil dan penandaan halal yang digunakan premis terbabit.

Katanya, pihaknya akan melakukan pemeriksaan secara berfokus dan intensif dari semasa ke semasa bersama agensi penguatkuasa berkaitan.

"Bagi aduan tanda harga kita telah beri amaran dan dalam tempoh tujuh hari untuk memperbetulkan perkara itu. Ini kerana, penandaan harga penting untuk pengguna membuat pilihan dan itu yang kita tekankan kepada restoran," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia