Penghantar makanan ditangkap pukul polis

Seorang lelaki ditahan selepas bertindak kasar hingga mencederakan anggota polis semasa pemeriksaan Ops Covid-19 di Pandan Cahaya, Ampang hari ini.
Seorang lelaki ditahan selepas bertindak kasar hingga mencederakan anggota polis semasa pemeriksaan Ops Covid-19 di Pandan Cahaya, Ampang hari ini.
A
A
A

AMPANG - Tindakan kurang ajar seorang penghantar makanan yang memukul anggota polis ketika pemeriksaan Ops Covid-19 di kawasan Jalan Cahaya 2/3A, Pandan Cahaya, di sini hari ini, mengundang padah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, lelaki berusia 28 tahun yang menaiki motosikal jenis Modenas Kriss itu ditahan anggota polis yang sedang melakukan rondaan kira-kira jam 10 pagi selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, ketika ditahan untuk pemeriksaan, lelaki terbabit telah memaki polis dan mengeluarkan perkataan tidak senonoh.

"Dalam proses membuat tangkapan, suspek bertindak melawan dan telah memukul salah seorang anggota polis dengan menggunakan tangan.

"Tindakan lelaki itu menyebabkan anggota berkenaan mengalami kesakitan di bahagian tangan dan leher," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit kemudian ditangkap kerana menyerang polis semasa menjalankan tugas dan dengan sengaja tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Tegas Noor Azmi, pihaknya mengingatkan orang awam untuk sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis dan mematuhi PKP yang dilaksanakan ketika ini serta undang-undang tetapkan.

Artikel Berkaitan: