Sewa banglo jadi markas panggilan judi online

Huzir (dua dari kanan) melihat antara rampasan komputar yang dirampas pihaknya dalam Op Dadu di Batu 14, Puchong, Selangor hari ini.
Huzir (dua dari kanan) melihat antara rampasan komputar yang dirampas pihaknya dalam Op Dadu di Batu 14, Puchong, Selangor hari ini.
A
A
A

PUCHONG - Taktik lapuk sindiket yang menjadikan tiga unit banglo di Batu 14, di sini sebagai pusat panggilan bagi kegiatan perjudian online terbongkar selepas digempur polis menerusi serbuan Ops Dadu, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, operasi sepasukan anggota Bahagian Anti Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman kira-kira jam 3.30 petang itu berjaya menahan 54 individu warga China termasuk empat wanita berusia lingkungan 18 hingga 54 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan di banglo tiga tingkat itu membawa kepada penemuan 60 unit komputer, 313 telefon bimbit, enam modem serta tujuh unit router.

“Pemeriksaan mendapati tingkat bawah banglo terbabit dijadikan ruang untuk makan, tingkat dua untuk tidur dan tingkat atas untuk bekerja.

“Siasatan polis percaya suspek dipercayai terlibat bagi mempromosi kegiatan judi online menerusi aplikasi WeChat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan hari ini.

Antara warga China yang ditahan dalam Ops Dadu di Batu 14, Puchong, Selangor hari ini.
Antara warga China yang ditahan dalam Ops Dadu di Batu 14, Puchong, Selangor hari ini.

Huzir berkata, dipercayai pusat panggilan judi ini telah beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan mensasarkan pelanggan warga China dan keuntungan yang dicatat sehari adalah RM350,000.

Tambahnya, sindiket juga mampu mengaut untung mencecah RM350,000 bagi tempoh sehari.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya sindiket menyewa banglo ini dengan bayaran RM3,000 sehingga RM4,000 sebulan. Siasatan masih dijalankan untuk mengesan pemilik banglo serta individu yang menghantar makanan kepada suspek terbabit," katanya.

Tambah beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka.

Dalam pada itu, Huzir berkata, kesemua suspek akan menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan kesihatan mustahak kerana kita (polis) tidak mahu bawa suspek tidak sihat ke lokap, jika positif (Covid-19) ia akan merebak,” katanya.