Idea 'ubi bombing' Prabowo cetus sindiran

JAKARTA - Presiden Prabowo Subianto mencadangkan pembangunan bahan pemadam api berasaskan tepung ubi sebagai alternatif kepada penggunaan air dalam menangani kebakaran hutan dan tanah pertanian yang semakin tidak terkawal di Indonesia.
Cadangan itu dikemukakan ketika mesyuarat penyelarasan pengurusan kebakaran di Sumatera Selatan pada Isnin lalu.
Pada mulanya, Prabowo bertanya kepada Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) sama ada terdapat bahan yang lebih berkesan daripada air untuk mengawal api yang semakin marak.
Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo kemudiannya memaklumkan kepada beliau mengenai bahan berasaskan tepung yang diperbuat daripada ubi termasuk ubi kayu yang pernah dibangunkan sebelum ini.
Menurutnya, bahan tersebut berpotensi membantu mencegah kebakaran dan memadamkannya pada peringkat awal.
Prabowo menyambut baik idea tersebut dan mengarahkan kajian lanjut dijalankan bagi menilai keberkesanan bahan berkenaan.
"Ia sangat menarik. Bahan mentahnya ialah ubi termasuk ubi kayu. Cuba hasilkan dalam skala besar," katanya.
Secara berseloroh, Prabowo merujuk konsep itu sebagai 'ubi bombing' yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kaedah pengeboman air menggunakan helikopter atau pesawat di kawasan yang terbakar.
Idea tersebut bagaimanapun mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet termasuk pengguna di Malaysia yang kini terkesan kebakaran di negara jiran.
Sebahagian mempersoalkan keberkesanan penggunaan tepung ubi untuk memadam kebakaran hutan berskala besar malah ada yang menyindir dan menjadikan istilah 'ubi bombing' sebagai bahan gurauan di media sosial.
“Nanti bukan api yang padam, tapi jadi gorengan," sindir seorang warganet.
Ada juga yang membangkitkan persoalan mengenai risiko penggunaan serbuk tepung dalam kuantiti besar selain menggesa supaya idea tersebut dibuktikan melalui kajian dan ujian saintifik terlebih dahulu sebelum dilaksanakan secara meluas.
Buat masa ini, bahan berasaskan ubi itu masih di peringkat cadangan dan memerlukan kajian serta ujian lanjut sebelum potensi penggunaannya dapat ditentukan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

