Menang satu belum cukup

Garrido Foto: Sabah FC
Garrido Foto: Sabah FC
A
A
A

KELAB Kepulauan Borneo, Sabah FC menyasarkan kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Star City FC 3-1 apabila menerima kunjungan Penang FC di Stadium Likas, Jumaat ini dalam aksi pembukaan Liga Super 2026/27.

Pengendali The Rhinos, Juan Torres Garrido mahu pemain-pemainnya mengekalkan intensiti, disiplin dan keberanian, selain tidak terlalu selesa dengan kemenangan pertama.

“Kami berpuas hati kerana memulakan musim dengan kemenangan dan berjaya menunjukkan gaya permainan yang kami mahukan.

“Tetapi sekarang kami perlu melihat ke hadapan. Penang ialah pasukan yang berbeza dan perlawanan ini juga akan menjadi cabaran yang berbeza,” katanya.

Sementara itu, Garrido menyifatkan The Black Panthers sebagai pasukan yang kukuh, tersusun dan berbahaya menerusi situasi bola mati.

“Kami perlu konsisten, agresif dan terus berusaha sehingga wisel penamat,” katanya.

Beliau turut mengakui tempoh pemulihan singkat memerlukan pengurusan pemain yang baik, namun persaingan sengit dalam latihan memberi lebih banyak pilihan untuk mengubah kesebelasan utama mengikut pelan permainan.

“Semua pemain kami berlatih dengan baik dan bersaing untuk memulakan perlawanan. Selagi pemain yang masuk dari bangku simpanan mampu memberikan sumbangan, kami mempunyai ruang untuk menyesuaikan kesebelasan utama,” katanya.

Mengenai sasaran enam mata daripada dua perlawanan pertama, Torres berkata, Sabah mahu menjadi pasukan yang kuat di laman sendiri.

Artikel Berkaitan:

Namun pada masa sama menegaskan proses membangunkan pasukan lebih penting, terutama selepas menurunkan tujuh pemain baharu dalam kesebelasan utama ketika menentang Star City.

“Kami mahu menang, tetapi yang paling penting ialah cara kami bermain dan usaha untuk terus membangunkan pasukan ini,” katanya.

Garrido turut menegaskan keputusan akhir bukan satu-satunya ukuran prestasi, sambil menyatakan Sabah hanya memperoleh kelebihan selesa selepas minit ke-89 ketika menentang Star City.

“Jika kami sekali lagi mampu menerapkan gaya permainan kami dengan berkesan ketika menentang Penang, itu akan menjadi satu langkah yang sangat baik untuk pasukan ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!