Kerabat Diraja Pahang berkabung tiga hari

KUANTAN - Seluruh kerabat Diraja Pahang berkabung selama tiga hari berikutan kemangkatan kakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Seri Aishah Almarhum Sultan Ahmad Shah pada Rabu.
Perkara itu dimaklumkan Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya menerusi satu kenyataan pada Khamis
"Titah berkabung selama tiga hari itu bermula 27 hingga 29 Ogos sebagai tanda penghormatan dan dukacita Kerabat Diraja Negeri Pahang atas pemergian Almarhumah.
“Sepanjang tempoh berkabung tersebut, Kerabat Diraja Pahang dikehendaki memakai pakaian berwarna putih, manakala kerabat lelaki turut memakai songkok yang dililit kain putih sebagai tanda berkabung,” menurut siaran media itu.
Dalam pada itu, Mohamed Zahari berkata, kaum keluarga Kerabat Diraja Pahang turut digalakkan mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin buat Almarhumah sepanjang tempoh berkenaan.
Pemergian Almarhumah merupakan satu kehilangan besar kepada Kerabat Diraja Negeri Pahang, khususnya kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sehubungan itu, seluruh rakyat Pahang turut diseru bersama-sama menghadiahkan bacaan al-Fatihah dan mendoakan agar roh Almarhumah mendapat keampunan serta rahmat dan ditempatkan di syurga ALLAH SWT.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

