Jom upgrade, jom potong

MERAK Jalanan perasan manusia memang suka upgrade. Telefon masih elok, keluar model baharu mula rasa gatal tangan. Internet rumah 100Mbps sudah laju, nampak pakej 500Mbps terus terfikir hendak tambah.
Bab makan pun sama. Ayam penyet sudah pedas, kita cari ayam gepuk yang lagi pedas. Sudah berpeluh satu badan, esok datang lagi. Pedas tahap satu tak cukup, naik tahap dua, tiga pula.
Kita sanggup mencabar diri untuk benda yang kita suka. Kalau tahap pedas pun kita berani naikkan, apa salahnya tahun ini kita naik satu tahap dalam soal zakat – daripada 'nanti aku bayar' kepada potongan setiap bulan.
Kita selalu fikir hidup naik taraf apabila gaji naik, kereta bertukar atau rumah makin besar. Tetapi kalau pendapatan naik sedangkan zakat masih tertangguh, betulkah semuanya sudah ‘upgrade’?
Al-Quran memberi satu panduan menarik. Dalam surah al-Baqarah ayat 267, ALLAH memerintahkan orang beriman supaya membelanjakan sebahagian daripada hasil usaha yang baik-baik.
Merak Jalanan suka frasa 'hasil usaha' itu. Setiap bulan kita tunggu hasil usaha masuk ke akaun. Ada yang masuk tanggal 25, ada 27, ada pula hujung bulan.
Kita selalu mahu tambah harta. Tetapi al-Quran mengajar satu lagi perkara – harta bukan sekadar perlu ditambah, ia juga perlu dibersihkan.
Sebab itu zakat bukan cerita tentang berapa banyak wang keluar daripada akaun. Ia cerita tentang apa yang kita lakukan dengan rezeki selepas ALLAH memberikannya.
Peliknya manusia. Ansuran kereta RM1,000 kita berani tambah. Telefon RM5,000 kita berani tukar. Tetapi apabila sampai bab mengeluarkan sebahagian kecil rezeki untuk zakat, mula takut duit tak cukup.
Al-Quran sudah menyebut tentang ketakutan ini lebih 1,400 tahun lalu. Dalam surah al-Baqarah ayat 268, ALLAH mengingatkan bahawa syaitan menakut-nakutkan manusia dengan kemiskinan, sedangkan ALLAH menjanjikan keampunan dan kurnia-Nya.
Dalam sebuah hadis qudsi riwayat Muslim, ALLAH berfirman: “Wahai anak Adam, berbelanjalah, nescaya Aku akan membelanjakan kepadamu.” Pendek pesannya. Tetapi dalam maknanya.
Cara paling mudah ialah jangan beri peluang kepada diri sendiri untuk terlupa. Jadikan zakat sebahagian daripada rutin bulanan. Gaji masuk, zakat jalan.
Merak Jalanan terkejut apabila hampir RM160 juta zakat dikutip Pusat Pungutan Zakat–Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dalam tempoh sehari pada 31 Disember lalu. Baguslah kewajipan ditunaikan, tetapi RM160 juta dalam sehari juga bermakna terlalu banyak zakat masih tertumpu di hujung tahun.
Sedangkan asnaf perlu makan, bayar sewa dan mendapatkan rawatan setiap bulan.
MAIWP sendiri memerlukan sekitar RM100 juta setiap bulan untuk diagihkan kepada asnaf di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Sebab itu potongan bulanan ada signifikannya. Sehingga tahun lalu, sudah 141 ribu pembayar menggunakan Skim Potongan Zakat Bulanan dengan kutipan mencecah RM657.12 juta, meningkat 14 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Maksudnya, semakin ramai sudah memilih untuk tidak menunggu.
Bil elektrik, internet, takaful dan macam-macam komitmen sudah kita susun setiap bulan. Jadi zakat pun boleh dibuat begitu. Tak perlu tunggu hujung tahun atau kelam-kabut hendak mengira.
Malah apabila gaji naik, dapat bonus atau pendapatan bertambah, jumlah potongan pun elok disemak semula. Rezeki sudah upgrade, jangan pula zakat kekal di tahap lama.
Melalui Kempen Jom Potong PPZ-MAIWP, potongan zakat bulanan boleh dimulakan atau ditambah melalui ptg.zakat.com.my.
Merak Jalanan fikir inilah satu upgrade yang tidak memerlukan telefon baharu, kereta baharu atau gaji lima angka. Harta boleh bertambah, tetapi belum tentu hati bertambah tenang.
Upgrade sebenar bukan apabila kita mampu memiliki lebih banyak. Tetapi apabila bertambah rezeki, bertambah juga yang kita tunaikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
