Sektor koperasi catat perolehan RM82 bilion - IKMa

PETALING JAYA – Sektor koperasi di negara ini terus membuktikan peranannya sebagai enjin pertumbuhan ekonomi yang signifikan apabila merekodkan nilai perolehan keseluruhan mencecah RM82 bilion.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin berkata, pertumbuhan itu didorong penglibatan 16,468 koperasi berdaftar di seluruh negara yang memperkasakan seramai 7.33 juta anggota.
Menurut beliau, gerakan koperasi kini bukan lagi sektor sampingan apabila berjaya memegang aset bernilai RM186.7 bilion serta mengumpul yuran dan syer anggota berjumlah RM18.6 bilion.
"Angka-angka ini membuktikan secara konkrit bahawa gerakan koperasi mampu mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan isi rumah, serta memperkukuhkan kesejahteraan komuniti di bandar mahupun luar bandar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Karnival Jom IKMa sempena Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun Institut Koperasi Malaysia (IKMa), di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, Onn Abu Bakar, Ketua Pengarah IKMa, Datuk Dr Mohd Ali Mansor dan Anggota Lembaga IKMa juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Siti Azlin Ahmad Dauta; Presiden Angkasa merangkap Lembaga Pengarah IKMa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah; serta Naib Canselor Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Datuk Prof Dr Azali Mahamed.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sejak ditubuhkan pada 1956, IKMa berjaya melatih seramai 944,505 pemimpin, pengurus dan anggota koperasi menerusi 15,674 program latihan serta bimbingan di seluruh negara.
Sempena sambutan itu, Pelan Strategik IKMa 2026–2030 turut dilancarkan bagi memacu fasa baharu transformasi modal insan dalam mendepani cabaran ekonomi digital, Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan Kecerdasan Buatan (AI).
Pelan berkenaan dirangka selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030) dan Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM 2030).
Sementara itu, Ketua Pengarah IKMa, Datuk Dr Mohd Ali Mansor menegaskan, pengalaman 70 tahun menjadi asas kukuh bagi IKMa untuk kekal komited menyediakan latihan yang relevan, fleksibel dan berintegriti.
"Agenda pendidikan koperasi turut diperkasakan menerusi penubuhan UKKM yang kini sudah melahirkan 39 alumni dalam pengurusan tertinggi.
"UKKM juga mempunyai 92 pelajar aktif dari peringkat Diploma hingga Doktor Falsafah (PhD) serta Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA)," tambahnya,
Karnival Jom IKMa berlangsung selama dua hari itu turut menyajikan pelbagai pengisian utama, antaranya Pertandingan Explorace Koperasi Sekolah yang membabitkan penyertaan 100 pelajar daripada 25 sekolah menengah, termasuk penganjuran peringkat negeri Selangor.
Selain itu, sebanyak 10 gerai jualan membabitkan usahawan koperasi, agensi KUSKOP dan Program Jualan Madani Koperasi turut disediakan bagi menawarkan barangan asas pada harga berpatutan.
Karnival itu turut menyediakan aktiviti komuniti dan kesihatan termasuk pemeriksaan kesihatan serta pergigian percuma, program derma darah dan pertandingan permainan dalaman.
KUSKOP dan IKMa turut menyeru generasi muda menjadikan UKKM sebagai destinasi pengajian tinggi pilihan utama bagi melahirkan pemimpin dan usahawan koperasi bertaraf dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

