X

Kindly register in order to view this article
!

NGO hantar bantuan perlu daftar dengan JKM

Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan meminta badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin melakukan penghantaran bantuan bekalan makanan kepada rakyat yang terjejas supaya berdaftar dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan bukan mahu mengekang pergerakan atau usaha bagi membantu mereka yang memerlukan, tetapi pendaftaran tersebut bagi tujuan keselamatan mereka sendiri.

"Ini kerana apabila mereka menghantar makanan, mereka akan bertemu dengan pihak yang menerima. Kita tidak tahu sejauh mana tahap kesihatan sama ada pemberi atau penerima.

"Jika salah seorang daripada pihak ini positif koronavirus (Covid-19), JKM mempunyai maklumat bagi membantu Kementerian Kesihatan membuat pengesanan.

"Kita boleh kesan NGO mana yang menghantar. Jika kita tidak mempunyai maklumat seperti itu dan timbul kes-kes berkaitan kesihatan, bagaimana kita nak menyelamatkan pihak yang mempunyai kontak pesakit Covid-19 ini," katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Menjawab pertanyaan pemberita berkaitan kerisauan pekerja pembersihan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang hanya dibekalkan topeng muka dan sarung tangan sahaja, beliau berkata, pekerja tersebut tidak mempunyai kontak secara langsung dengan penduduk di kawasan tersebut.

"Penduduk masih berada di dalam rumah kerana kita tidak membenarkan sesiapapun keluar. Kalau tak ada kontak, jadi tidak perlu memakai peralatan perlindungan diri (PPE) seperti yang digunakan oleh petugas keselamatan.

"Begitu juga di Masjid India, pekerja mengutip sampah di lobi dan tidak naik ke atas. Oleh kerana tidak masuk ke dalam bangunan, maka tidak ada kontak terus dengan mereka yang berada dalam Selangor Mansion.

"Jadi, tidak ada keperluan bagi mereka memakai PPE dan hanya cukup dengan sarung tangan dan topeng muka kecuali jika mereka masuk ke dalam bangunan baharulah perlu pakai PPE," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!