PDRM bantu Thailand kesan ejen BRN

Mohd Khalid (tiga,kiri) bersama Mohd Yusoff (dua,kanan) mengadakan tinjauan di sempadan berhampiran pangkalan haram Lubok Gong, Rantau Panjang pada Rabu. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Mohd Khalid (tiga,kiri) bersama Mohd Yusoff (dua,kanan) mengadakan tinjauan di sempadan berhampiran pangkalan haram Lubok Gong, Rantau Panjang pada Rabu. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

RANTAU PANJANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi kerjasama kepada pihak berkuasa Thailand untuk membantu mengesan kemungkinan pergerakan individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Barisan Revolusi Nasional (BRN) di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya menerima permintaan daripada polis dan tentera Thailand untuk membantu mengesan serta mendapatkan maklumat berkaitan pergerakan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan berkenaan.

Menurut beliau, kerjasama itu dilaksanakan dari semasa ke semasa berdasarkan permintaan pihak berkuasa dari negara jiran berkenaan, termasuk menjalankan siasatan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Setakat ini kita ada dapat permintaan daripada pihak polis dan tentera Thailand untuk mencari atau membantu sebarang pergerakan yang mungkin terdapat ejen-ejen ataupun mereka yang berkaitan dengan BRN dan sebagainya.

"Jadi kita akan menjalankan siasatan dan cuba mendapatkan maklumat lanjut serta membantu dalam menyelesaikan isu tersebut," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Sebelum itu beliau mengadakan tinjauan di sempadan berhampiran pangkalan haram Lubok Gong di sini yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Media sebelum itu melaporkan Thailand meningkatkan operasi keselamatan di tiga wilayah sempadan selatannya - Narathiwat, Pattani dan Yala - susulan siri serangan arson pada hujung minggu, dengan pihak berkuasa mempergiat usaha mengesan pelaku insiden berkenaan.

Menurut Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara (NSC) Chatchai Bangchuad, Perdana Menteri Anutin Charnvirakul telah mengarahkan agensi keselamatan untuk menilai situasi semasa, manakala Markas Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (Isoc) Wilayah 4 menempatkan anggota bagi mengawal kawasan yang terjejas.

Mohd Khalid memberitahu, permintaan berkaitan perkara itu bukan sesuatu yang baharu, malah PDRM sudah menerimanya sejak sebelum ini dan tindakan akan diambil dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, setakat ini pihak berkuasa Thailand belum menyerahkan sebarang senarai individu dikehendaki secara khusus kepada PDRM berkaitan perkara berkenaan.

'Daripada dulu lagi perkara ini memang kita terima, tetapi kita akan melaksanakan dari masa ke semasa segala perkara yang diminta oleh mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!