Fernandes dinobat pemain terbaik PFA

Fernandes mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang kempen EPL 2025/26.
Fernandes mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang kempen EPL 2025/26.
A
A
A

KAPTEN Manchester United, Bruno Fernandes dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) bagi musim 2025/26 selepas mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).

Fernandes, 31, mencipta rekod baharu EPL dengan menghasilkan 21 bantuan gol, sekali gus mengatasi pencapaian terdahulu yang dikongsi legenda Arsenal, Thierry Henry dan bekas pemain Manchester City, Kevin De Bruyne.

Selain sumbangan bantuan gol, pemain Portugal itu turut menjaringkan sembilan gol bagi membantu United bangkit daripada permulaan musim yang kurang memberangsangkan sebelum menamatkan saingan di tangga ketiga di bawah kendalian Michael Carrick.

Kedudukan itu turut memastikan United kembali beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan, manakala pengiktirafan PFA melengkapkan musim cemerlang Fernandes selepas beliau turut menerima anugerah Pemain Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA) pada Mei lalu.

"Ini sememangnya detik yang amat membanggakan. Mereka adalah pemain yang kamu harungi di atas padang dan mungkin bukan mudah untuk mengundi seseorang yang anda lawan, jadi ini satu detik yang sangat bermakna," kata Fernandes.

Dalam kategori wanita, penyerang Manchester City, Khadija Shaw turut mencuri perhatian apabila dinobatkan Pemain Terbaik PFA buat kali kedua selepas membantu kelab itu menjuarai Liga Super Wanita (WSL) buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun.

Shaw, yang meledak 21 gol, turut meraih Kasut Emas untuk musim ketiga berturut-turut sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara penyerang terbaik dalam saingan wanita England.

City turut meraih satu lagi pengiktirafan apabila Nico O'Reilly dinobatkan Pemain Muda Terbaik PFA selepas memainkan peranan penting dalam kejayaan kelab itu meraih dua trofi musim lalu.

Pemain berusia 21 tahun itu menjaringkan dua gol pada final Piala Liga ketika City menewaskan Arsenal, selain menjadi sebahagian daripada skuad yang turut menjulang Piala FA.

Artikel Berkaitan:

"Saya amat bangga dengan musim yang saya lalui. Saya memenangi dua trofi bersama kelab dan berpeluang beraksi di Piala Dunia bersama negara. Saya sangat gembira dengan apa yang berlaku," kata pemain antarabangsa England itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!