Lima ditahan simpan ketum

IPOH - Lima lelaki warga tempatan ditahan dalam dua serbuan berasingan di daerah Kerian dan Hilir Perak kerana disyaki memiliki serta menyimpan daun dan air ketum.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 10.30 malam Isnin, tiga lelaki berusia antara 27 hingga 42 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Nelayan, Tanjung Piandang.
Menurutnya, pemeriksaan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di lokasi menemukan sebotol plastik lut sinar berisi cecair disyaki air ketum dengan anggaran isi padu 0.6 liter.
“Pemeriksaan lanjut di bahagian dapur rumah berkenaan turut menemukan 22 bungkus plastik mengandungi cecair disyaki air ketum dengan anggaran keseluruhan 11.01 liter.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM280 dan semakan awal mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod lampau,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Alwi berkata, dalam kes berasingan kira-kira jam 12.20 tengah malam pada Selasa, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Hilir Perak menjalankan pemeriksaan di belakang sebuah rumah di Jalan Chenderong Balai.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan 22 bungkus plastik hitam mengandungi daun disyaki ketum dengan anggaran berat keseluruhan 196 kilogram bernilai kira-kira RM2,940.
Menurutnya, dua lelaki warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan dan semakan awal mendapati kedua-duanya tidak mempunyai rekod lampau.
“Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Rampasan daun dan air ketum berkenaan dipercayai untuk tujuan pengedaran dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta rangkaian pengedaran bahan berkenaan,” katanya.
Mohd Alwi berkata, Polis Perak akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti menyalahi undang-undang.
Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

