Nelayan Iran turun ke laut semula

BANDAR ABBAS - Mohammad Amin tekun membaiki pukat yang koyak selepas seharian turun ke laut di perairan yang menjadi 'medan tempur' antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) sejak lebih lima bulan lalu.
Nelayan berusia 47 tahun kembali menangkap ikan sejak awal bulan lalu selepas rutin itu terpaksa dihentikan kerana peperangan yang melanda di sekitar Selat Hormuz.
Sepanjang tempoh konflik itu, Amin terpaksa menggunakan wang simpanan untuk menyara hidupnya selain turut bimbang jika bot kecil miliknya musnah akibat kempen pengeboman sengit ke atas Bandar Abbas.
"Kami sudah kembali ke laut sejak 20 hari lalu. Jika terus menunggu hingga perang reda, keluarga kami mungkin akan mati kelaparan," kata bapa kepada tiga anak itu.

Menurut media tempatan, hampir 12 nelayan terkorban manakala kira-kira 17 yang lain di wilayah Sistan-Baluchistan dilaporkan hilang.
Kawasan pesisir Bandar Abbas yang meriah dengan deretan kafe berulang kali menjadi sasaran serangan sepanjang hampir 40 hari pertempuran sengit selepas pelaksanaan gencatan senjata goyah pada 8 April lalu.
“Hampir setiap hari tempat ini diserang. Lama-kelamaan ia sudah menjadi perkara biasa buat kami,” kata Hossein, 53, yang merupakan antara nelayan yang kembali mencari rezeki di laut sebaik sahaja AS menghentikan operasi ketenteraan mereka kerana berdepan isu kekurangan bekalan senjata dan peluru.

Tiada pilihan
Lebih 2,000 nelayan dari wilayah Hormozgan di selatan kehilangan peralatan menangkap ikan sepanjang pertempuran selain ratusan bot turut rosak.
Difahamkan, kerja membaiki pukat semakin kerap dilakukan sejak perang ganas itu meletus.
Menurut Amin, pukatnya sering tersangkut pada bangkai kapal yang rosak dan terkena serpihan di laut hingga terpaksa diganti berulang kali walaupun kosnya agak membebankan.
"Laut memang sudah tercemar sebelum ini. Sekarang keadaannya lebih teruk dengan timbunan sisa perang seperti logam," ujarnya.
Bagi Bagher Abbaszadeh, komuniti nelayan kini hidup dalam ketidakpastian kerana tidak dapat melihat pengakhiran yang jelas kepada konflik yang kini berpusat di Selat Hormuz dan kekal berada di bawah kawalan Iran.

"Kami bimbang perang akan tercetus semula. Saya berharap keputusan mereka akhirnya akan mengutamakan kepentingan rakyat biasa,” menurutnya.
Ketika Iran dan Oman berunding untuk mencapai kesepakatan mengenai selat tersebut, nelayan di sepanjang pantai selatan hanya memikirkan sama ada mereka masih mampu mencari rezeki di laut.
Hossein berkata, dia sanggup menggadai nyawa demi menyara keluarganya walaupun pertempuran kembali tercetus.
“Kami tiada pilihan lain. Jika kami tidak menangkap ikan, bagaimana nasib keluarga kami?” ujarnya dalam nada hiba.
Sementara itu, Amin juga percaya konflik tersebut masih belum berakhir.
"Tiada pihak yang menunjukkan kesediaan untuk benar-benar menamatkan konflik ini dalam masa terdekat," tambahnya. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

