Tindakan anggota di lapangan, garisan antara integriti dan kawalan emosi

Kepentingan bertindak secara rasional bukan sahaja untuk melindungi hak individu yang ditahan, tetapi juga untuk melindungi anggota itu sendiri daripada implikasi undang-undang. Gambar hiasan
Kepentingan bertindak secara rasional bukan sahaja untuk melindungi hak individu yang ditahan, tetapi juga untuk melindungi anggota itu sendiri daripada implikasi undang-undang. Gambar hiasan
A
A
A

PLATFORM media sosial kecoh baru-baru ini susulan insiden tular memaparkan seorang anggota polis yang didakwa memijak kepala suspek di Kulim, Kedah.

Rakaman video berdurasi 29 saat memaparkan kejadian di mana seorang lelaki dilihat ditarik daripada motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh anggota berkenaan.

Kejadian itu menimbulkan perdebatan dalam kalangan masyarakat berhubung penguatkuasaan undang-undang dari segi garis halus antara integriti profesional dan kawalan emosi di lapangan.

Pada Selasa, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan atau menghukum mana-mana pihak hanya berdasarkan rakaman video pendek berhubung insiden berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakaman yang tersebar di media sosial hanya memaparkan detik singkat tanpa menggambarkan keseluruhan situasi ketika kejadian berlaku.

Beliau menegaskan sebarang tindakan lanjut termasuk kemungkinan merujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) hanya akan diputuskan selepas siasatan lengkap dijalankan.

Dari sudut integriti, pasukan polis sebagai institusi penguat kuasa undang-undang memikul tanggungjawab besar untuk menegakkan keadilan tanpa prejudis.

Integriti bukan sekadar berkaitan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), tetapi turut melibatkan persepsi awam terhadap profesionalisme anggota di lapangan.

Perlu ingat, tindakan yang dilihat melampaui batas walaupun mungkin berlaku dalam situasi tertekan, boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi tersebut secara keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

Kepentingan bertindak secara rasional bukan sahaja untuk melindungi hak individu yang ditahan, tetapi juga untuk melindungi anggota itu sendiri daripada implikasi undang-undang dan tindakan disiplin.

Dalam masa sama, masyarakat juga perlu mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu insiden.

Desakan untuk mendapatkan keadilan tidak seharusnya mengatasi keperluan untuk memastikan siasatan dilakukan secara telus dan menyeluruh.

Situasi tersebut bukan sekadar soal siapa benar atau salah, tetapi mencerminkan keperluan berterusan untuk memperkukuh integriti institusi serta keupayaan individu dalam mengawal emosi ketika menjalankan tugas.

Dalam dunia yang serba pantas dan terdedah kepada penilaian umum, profesionalisme dan rasionaliti kekal sebagai benteng utama dalam memastikan keadilan dapat ditegakkan dengan seimbang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!