GPPPKMM lancar Warong Digital bantu peniaga

GPPPKMM menyediakan ruang perniagaan dalam talian kepada peniaga dan penjaja sepanjang Ramadan ini menerusi aplikasi Warong Digital. - Foto Bernama
GPPPKMM menyediakan ruang perniagaan dalam talian kepada peniaga dan penjaja sepanjang Ramadan ini menerusi aplikasi Warong Digital. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu platform e-bazar, Warong Digital diperkenal bagi membantu peniaga dan penjaja kecil berniaga pada bulan Ramadan.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed berkata, perniagaan dalam talian itu dibangunkan dengan kerjasama Kiplepay Sdn Bhd sebagai penyedia perkhidmatan pembayaran.

"GPPPKMM bekerjasama dengan pelbagai rakan penghantaran seperti Lalamove untuk kawasan Lembah Klang, Quick Sent di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor manakala kawasan utara seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang akan menggunakan perkhidmatan ERunner.

"Kami mengalu-alukan mana-mana syarikat yang boleh bekerjasama dalam perkhidmatan ini bagi melancarkan penghantaran terus kepada pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Zamri
Mohamed Zamri

Menurutnya, pendaftaran peniaga sedang giat dijalankan dalam usaha membantu mereka mendapat pendapatan secara dalam talian menggantikan bazar Ramadan yang tidak dibenarkan beroperasi.

"Keistimewaan aplikasi ini adalah tiada caj pendaftaran dikenakan kepada peniaga. Peniaga perlu ada lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa tempatan.

"Kemudahan ini dilengkapi dengan khidmat penghantaran dengan 40,000 rider di Lembah Klang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, aplikasi Warong Digital atau ERamadhan Bazar boleh dimuat naik bermula 21 April ini.

"Platform ini membantu peniaga di bulan Ramadan dan akan diteruskan ke seluruh negara selepas ini," katanya.