Tiga daripada 10 remaja Kelantan alami kemurungan sederhana

KOTA BHARU - Hampir tiga daripada 10 remaja berusia 13 hingga 19 tahun di Kelantan mencatatkan gejala kemurungan sederhana berdasarkan saringan kesihatan mental negeri bagi tahun 2025.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, dapatan menerusi Patient Health Questionnaire (PHQ-9) itu menunjukkan golongan muda antara kumpulan yang memerlukan perhatian khusus menerusi pengesanan awal, intervensi dan sokongan psikososial.
Menurut beliau, sebanyak 29.5 peratus remaja berusia 13 hingga 19 tahun mencatatkan skor kemurungan sederhana antara 10 hingga 14 dalam saringan berkenaan.
“Manakala golongan dewasa awal berumur 20 hingga 39 tahun mencatatkan peratusan tertinggi bagi gejala kebimbangan sederhana iaitu sebanyak 47 peratus.
“Dapatan ini menunjukkan golongan muda merupakan antara kumpulan yang memerlukan perhatian khusus melalui pendekatan promosi, pengesanan awal, intervensi dan sokongan,” katanya pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dr Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama).
Hilmi memberitahu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh sokongan kesihatan mental termasuk program Komuniti Minda Sejahtera (K-MindSet) dan latihan pencegahan bunuh diri MySAVE.
Ujarnya, seramai 164 sukarelawan dilantik di seluruh Kelantan untuk membantu melaksanakan saringan tahap kesihatan mental dalam komuniti masing-masing.
“Kesemua 10 daerah di Kelantan kini mempunyai lokaliti K-MindSet masing-masing dengan dua lokaliti bagi setiap daerah.
“Seramai 20 sukarelawan di Kota Bharu, Tumpat (12), Machang (14), Tanah Merah (12), Bachok (22), Pasir Mas (18), Pasir Puteh (12), Jeli (12), Kuala Krai (26) dan Gua Musang (16),” katanya.
Menurutnya, aktiviti promosi, saringan kesihatan mental dan pendidikan kesihatan turut dipergiatkan di institusi pendidikan, tempat kerja serta komuniti bagi meningkatkan literasi kesihatan mental dan menggalakkan individu mendapatkan bantuan pada peringkat awal.
Ujarnya, modul khas kesihatan mental remaja dan belia turut dibangunkan menggunakan pendekatan interaktif seperti gamifikasi bagi menarik perhatian golongan sasaran.
Dalam perkembangan sama, tambah Hilmi, JKNK turut menyediakan platform Saringan Minda Sihat secara dalam talian bagi membolehkan orang ramai melakukan saringan kendiri dan mendapatkan keputusan dengan segera selain maklumat mengenai saluran bantuan serta rujukan.
Katanya, antara saluran berkenaan ialah Talian HEAL 15555 kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan klinik kesihatan berhampiran.
“Kerajaan negeri turut mengambil pendekatan lebih dekat dengan masyarakat dengan menyediakan 15 talian Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) yang dikendalikan 15 kaunselor di bawah JKNK.
“Kalau kita telefon HEAL 15555, kaunselor yang menerima panggilan mungkin bercakap dengan loghat yang berbeza. Jadi kita tubuhkan 15 lagi talian psikososial di bawah JKNK yang menggunakan dialek-dialek tempatan.
“Ini supaya rakyat Kelantan lebih selesa untuk mengadu dan mendapatkan nasihat,” katanya.
Menurutnya, talian berkenaan beroperasi pada Ahad hingga Rabu dari jam 8 pagi hingga 5 petang, manakala pada Khamis dari jam 8 pagi hingga 3.30 petang.
Ujarnya, talian itu tidak beroperasi pada Jumaat, Sabtu dan cuti umum, manakala Talian HEAL 15555 pula beroperasi 24 jam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

