Inspektor, anggota polis berstatus isteri orang mengaku khalwat dalam bilik sewa

MELAKA - Seorang inspektor polis dan seorang anggota polis wanita yang berstatus isteri orang masing-masing mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis atas pertuduhan khalwat Mei lalu.
Tertuduh, Muhammad Shukri Hamzah, 40 dan Intan Suriani Abdul Kadir, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, Mawardi Che Man.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati berkurung di dalam sebuah bilik sewa yang boleh mendatangkan syak bersama individu yang bukan pasangan atau mahram yang sah di sisi hukum syarak.
Perbuatan itu didakwa berlaku jam 11.57 malam, 14 Mei 2026, di sebuah bilik sewa beralamat di Taman Mas Merah Batu Berendam di Melaka Tengah.
Muhammad Shukri didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 53(1) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali.
Manakala Intan Suriani didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 53(2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Wan Mahyuddin Wan Muhammad.
Dalam hujahnya, pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kedudukan kedua-dua tertuduh sebagai anggota badan penguat kuasa.
Pendakwaan berhujah kes berkenaan serius kerana tangkapan dilakukan oleh pegawai syarak bersama imam masjid.
Menurut pendakwaan, pada peringkat awal kedua-dua tertuduh dikatakan tidak memberikan kerjasama untuk membuka pintu, sebelum usaha tuan rumah menyebabkan pintu berkenaan akhirnya dibuka dan pemeriksaan dapat dilakukan oleh pegawai syarak.
Pendakwaan turut menegaskan bahawa kedua-dua tertuduh sepatutnya menunjukkan tahap integriti yang tinggi sebagai anggota polis, namun perbuatan itu boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap badan penguat kuasa.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap Muhammad Shukri, atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Sementara itu, Intan Suriani didenda RM2,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda.
Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim meluahkan kekecewaan terhadap penglibatan anggota badan penguat kuasa dalam kesalahan syariah.
Menurut beliau, anggota polis dan pegawai penguat kuasa syariah mempunyai tanggungjawab menegakkan keadilan serta menjaga keamanan masyarakat.
Beliau turut menyifatkan kes berkenaan sebagai sesuatu yang mengecewakan kerana individu yang diharapkan menjaga masyarakat sendiri terlibat dalam perbuatan yang melanggar undang-undang.
Mawardi berkata perbuatan bersekedudukan tanpa nikah atau hubungan mahram di tempat tertutup boleh menimbulkan syak dan termasuk dalam perbuatan yang dilarang oleh hukum syarak.
Beliau turut mengingatkan kedua-dua tertuduh supaya mengambil iktibar daripada hukuman yang dijatuhkan serta tidak mengulangi perbuatan sedemikian.
Dalam nada tegas, Mawardi menegaskan bahawa kedudukan sebagai anggota polis tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengenepikan undang-undang, sebaliknya mereka perlu menjadi contoh kepada masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

