MOT dapatkan maklum balas MOF berkaitan isu cukai kargo minyak

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Kementerian Kewangan (MOF) berhubung isu ketidakpastian cukai terhadap kargo minyak yang dicampur dalam tangki darat di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor.
Menterinya, Loke Siew Fook berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat berhubung mekanisme penetapan cukai berkenaan seperti yang dilaporkan media sebelum ini.
"Perkara ini di bawah Kastam dan MoF, kami akan mendapatkan maklumat lanjut daripada MoF," katanya ringkas dalam sidang akhbar ketika Majlis Perhimpunan Bulanan dan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Kementerian Pengangkutan di sini pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan aduan pemain industri yang mendakwa ketidakpastian mengenai isu berkenaan menjejaskan perniagaan perkapalan dan petroleum di pelabuhan terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy dilaporkan menggesa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memberi penjelasan sama ada amalan mencampurkan kargo minyak dalam tangki darat dibenarkan serta kaedah cukai yang perlu dikenakan.
Menurutnya, perkara itu penting kerana Pelabuhan Tanjung Langsat mengendalikan kargo petroleum yang dipunggah dari kapal ke tangki darat bagi operasi pemindahan kapal atau transhipment.
Media sebelum ini turut melaporkan timbul kebimbangan mengenai dakwaan minyak daripada konsainan berbeza dicampurkan dalam tangki darat selepas dipunggah dari kapal.
Tindakan berkenaan didakwa boleh mengubah keadaan kargo dan menimbulkan persoalan berkaitan klasifikasi, penilaian serta cukai sekiranya dokumen berkaitan tidak dikemas kini dengan sewajarnya.
Selain itu, Malaysia Corruption Watch (MCW) dilaporkan turut menggesa dakwaan ketidakpadanan antara bil muatan dan pergerakan fizikal kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor itu perlu disiasat secara menyeluruh kerana berpotensi menjejaskan kutipan hasil negara serta integriti sistem perdagangan.
Presidennya Jais Abdul Karim berkata, sekiranya dakwaan itu mempunyai asas, ia boleh membuka ruang kepada penipuan perdagangan, manipulasi dokumentasi, pengelakan cukai dan duti serta penyeludupan produk petroleum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

