Isu KB Sentral: Kerajaan Kelantan gagal beri jawapan - Ketua Pembangkang

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan gagal memberi jawapan sebenar berhubung kos, reka bentuk dan tarikh siap muktamad mengenai pembinaan Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral).
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd Syahbuddin Hashim berkata, penjelasan diberikan kerajaan hanya tertumpu kepada kerja-kerja rawatan dan penstabilan tanah, sedangkan rakyat mahu mengetahui perkembangan sebenar pembangunan keseluruhan projek yang sebelum ini diumumkan bernilai RM64 juta.
Ujarnya, beberapa persoalan penting yang dibangkitkan dalam dewan termasuk status kos rawatan tanah bernilai RM14 juta, pelantikan kontraktor, reka bentuk terminal dan tarikh siap projek masih belum dijawab secara tuntas.
"Rakyat nak tahu ialah pembangunan keseluruhan projek. Saya tanya adakah RM14 juta untuk rawatan tanah itu termasuk dalam kos keseluruhan projek ataupun kos tambahan.
"Tetapi jawapan yang diberikan nampaknya agak kabur, terutama berkaitan tempoh pembinaan, kontraktor pilihan dan tempoh siap," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke -15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis.
Mohd Syahbuddin memberitahu, kegagalan kerajaan memberikan penjelasan yang lebih konkrit berkemungkinan akan menyebabkan isu KB Sentral terus menjadi polemik dalam kalangan rakyat.
Menurut beliau, persoalan paling utama ketika ini ialah sama ada sasaran projek tersebut siap pada tahun 2028 masih kekal atau sebaliknya.
"Saya tanya 2028 kerana sebelum ini kita dimaklumkan projek ini akan siap pada tahun tersebut.
"Saya minta kerajaan mengesahkan sama ada 2028 KB Sentral akan siap ataupun tidak. Itu pun tidak dijawab oleh YB Exco," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas berkata, ketidakjelasan itu turut melibatkan aspek reka bentuk apabila kerajaan negeri masih belum dapat memaklumkan sama ada reka bentuk asal akan dikekalkan atau digantikan dengan pelan baharu.
"Dari segi reka bentuk pun nampaknya pihak kerajaan tidak boleh beritahu lagi sama ada mahu mengekalkan reka bentuk sedia ada ataupun sudah ada reka bentuk baharu," katanya.
Ujar beliau, situasi itu akan terus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat kerana setakat ini yang diketahui hanyalah kemajuan kerja tanah, sedangkan gambaran keseluruhan pembangunan projek masih belum diperincikan.
"Sekarang ini hanya apa yang berlangsung ialah kerja rawatan dan juga pembaikan tanah. Sedangkan yang rakyat nak tahu ialah pembangunan.
"Saya melihat isu ini akan terus menjadi polemik kerana kerajaan tidak dapat memberikan satu jawapan yang konkrit berkenaan pembangunan KB Sentral," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

