SOP mesin pengimbas KLIA dibawa ke Kabinet minggu depan – Anthony Loke

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

PUTRAJAYA – Penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pengimbasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan susulan isu penyeludupan dadah yang berlaku baru- baru ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang merangka penambahbaikan terhadap SOP berkenaan termasuk meneliti skop penggunaan mesin pengimbas sedia ada.

“KDN sedang merangka satu apa ni penambahbaikan dari segi SOP pengimbasan dan sebagainya, akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT), di sini pada Khamis.

Menurut beliau, aspek mesin pengimbas turut akan diteliti bagi memastikan peralatan berkenaan dapat ditambah baik.

“Jadi dari segi mesin-mesin pengimbas ini, sudah tentu kita akan melihat skop dia dan juga SOP dan sebagainya untuk memastikan semua mesin pengimbas itu dapat ditambah baik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah susulan berhubung insiden membabitkan mesin pengimbas KLIA dan kes penyeludupan dadah yang berlaku baru-baru ini.

Perkembangan berkenaan menunjukkan aspek SOP serta keberkesanan mesin pengimbas di lapangan terbang kini diberi perhatian susulan isu keselamatan yang dibangkitkan.

Anthony turut memaklumkan beberapa langkah keselamatan lain sedang diperkukuh kementeriannya, termasuk usaha meningkatkan pengawasan dan saringan membabitkan kru penerbangan susulan kes juruterbang Malaysia Airlines yang terlibat dalam isu dadah di Indonesia.

Tegasnya, langkah berkenaan bukan sahaja melibatkan Malaysia Airlines (MAG), malah syarikat penerbangan lain turut diminta memperkukuh aspek pengawasan dan saringan juruterbang serta kru kabin.

Artikel Berkaitan:

“Dalam masa sama, AKPS dan MAHB bertanggungjawab memperketatkan saringan dan tapisan dan semua itu sedang berjalan,” katanya.

Sebelum ini seorang juruterbang MAS ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, kerana disyaki cuba menyeludup lebih 70,000 pil ekstasi dan dadah seberat 25 kilogram yang bernilai sekitar RM14 juta pada 29 Julai lalu.

Mengulas lanjut Anthony berkata, siasatan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia menghormati proses perundangan negara terbabit.

“Perkara berkenaan di bawah pihak berkuasa Indonesia, jadi kita perlu menghormati pihak berkuasa negara itu iaitu pihak polis Indonesia. Siasatan diketuai oleh negara itu dan sebarang tindakan lanjut akan ditentukan oleh pihak berkuasa Indonesia,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis Malaysia telah ke Indonesia bagi bekerjasama dengan pihak berkuasa negara itu dalam siasatan kes berkenaan.

“Setakat ini saya dimaklumkan pihak polis dari negara kita ke Indonesia untuk bekerjasama dengan pihak sana bagi siasatan kes ini," ujar beliau.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!