Polis buka kertas siasatan dakwaan tular babit PKNPk

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin
A
A
A

IPOH - Polis telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan salah laku yang tular di media sosial melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan itu dijalankan susulan laporan polis yang dibuat pihak PKNPk berhubung penyebaran dakwaan berkenaan.

Menurutnya, setakat ini siasatan masih di peringkat awal dan pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pemilik akaun media sosial yang terlibat.

“Kita telah buka kertas siasatan di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan bersama Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan dijalankan berdasarkan laporan yang dibuat dan kita masih menunggu maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti peralamatan akaun TikTok terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Pelupusan Barang Kes Dadah dan Ketum Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Alwi berkata, setakat ini pihak polis belum memanggil mana-mana saksi untuk dirakamkan percakapan.

“Belum ada lagi saksi dipanggil kerana kita perlu mengenal pasti pemilik akaun terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini tiada laporan polis diterima daripada mana-mana individu yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seperti yang tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa hantaran yang mendakwa berlaku salah laku serta perbuatan tidak bermoral dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Susulan itu, PKNPk telah membuat beberapa laporan dan aduan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta SKMM berhubung penyebaran dakwaan berkenaan.

PKNPk dalam kenyataan memaklumkan laporan dan aduan itu dibuat antara 30 Julai hingga 3 Ogos lalu selepas sebuah laman Facebook didakwa menyiarkan pelbagai tuduhan terhadap organisasi, pengurusan serta individu tertentu secara berterusan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!