MAPS 2026 iktiraf kecemerlangan usahawan Selangor

PETALING JAYA – Platform Selangor (PLATS) kini menghimpunkan lebih 100,000 usahawan berdaftar, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan yang inklusif dan mampan.
Pencapaian itu diraikan menerusi Malam Anugerah Platform Selangor 2026 (MAPS 2026) yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, di sini pada malam Selasa.
Majlis yang menghimpunkan kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada pemimpin kerajaan, agensi negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), rakan strategik industri dan komuniti usahawan itu dianjurkan Yayasan MBI sebagai penghargaan kepada usahawan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam membangunkan serta mengembangkan perniagaan masing-masing.
Penganjuran MAPS 2026 merupakan hasil kerjasama strategik antara Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) dan PBT dalam memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan negeri.
Majlis disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang turut menyampaikan anugerah kepada penerima sebagai simbol penghargaan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan usahawan PLATS dalam merancakkan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Dalam ucapannya, beliau berkata usaha memperkasa usahawan akan terus menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri bagi memastikan golongan berkenaan mampu berkembang seiring perubahan landskap ekonomi digital.
“Usahawan mikro merupakan antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui pendekatan yang menyeluruh, merangkumi pendigitalan, akses kepada pembiayaan, pembangunan kapasiti dan jaringan strategik supaya lebih ramai usahawan tempatan mampu berkembang secara mampan serta berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Sehingga Julai 2026, PLATS terus memainkan peranan memperkasa usahawan menerusi pelbagai inisiatif meliputi pendigitalan, pembiayaan, akses pasaran dan pembangunan kapasiti.
Seramai 571 usahawan menyertai Program U-PLATS Digital 2026, manakala 200 usahawan mengikuti U-PLATS Digital (Bootcamp) bagi meningkatkan keupayaan digital perniagaan.
Selain itu, seramai 34 usahawan menyertai Program U-PLATS Halal bagi mendapatkan bimbingan ke arah pensijilan halal, manakala 228 usahawan menerima manfaat menerusi PLATS Biaya.
Dalam usaha memperluas akses pasaran kepada usahawan tempatan, seramai 2,852 usahawan turut menerima peluang berniaga menerusi pelbagai program dan acara anjuran Kerajaan Negeri.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Ts. Saipolyazan M Yusop, MAPS bukan sekadar mengiktiraf pencapaian usahawan, malah menjadi simbol penghargaan kepada mereka yang menunjukkan ketabahan, daya tahan dan semangat inovasi dalam membangunkan ekonomi rakyat.
“Sebagai agensi pelaburan strategik Kerajaan Negeri Selangor, MBI Selangor melalui Yayasan MBI komited untuk terus memperluas impak pembangunan sosioekonomi menerusi pelbagai program dan inisiatif keusahawanan yang inklusif.
“Dengan sokongan rakan-rakan strategik, kami akan terus memperkasa usahawan tempatan agar lebih berdaya tahan, berinovasi dan mampu bersaing dalam landskap ekonomi yang semakin dinamik.
“Saya berharap pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai usahawan untuk melangkah lebih jauh dalam mengembangkan perniagaan, mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi Negeri Selangor,” katanya.

Sebanyak 23 pengiktirafan disampaikan pada MAPS 2026 membabitkan sembilan kategori anugerah yang meraikan kecemerlangan usahawan dalam pelbagai bidang termasuk inovasi, pendigitalan, pembangunan komuniti, kepimpinan wanita dan belia serta penggunaan teknologi dalam perniagaan.
Kemuncak majlis menyaksikan Anugerah Utama Usahawan Mikro Negeri Selangor dianugerahkan kepada Puan Norminah Binti Syafrial, pengasas Minah Satay.
Beliau membawa pulang trofi serta hadiah keseluruhan bernilai RM20,000 yang merangkumi RM5,000 wang tunai dan RM15,000 Dana Usahawan Madani Selangor.
Penerima anugerah berkenaan dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang dalam membangunkan perniagaan, keupayaan memanfaatkan teknologi digital serta komitmen menghasilkan impak positif kepada komuniti setempat.
Kejayaan itu membuktikan bahawa dengan sokongan ekosistem yang kondusif, usahawan mikro mampu berkembang menjadi pemacu ekonomi tempatan selain memberi inspirasi kepada lebih ramai usahawan untuk terus berinovasi dan mengembangkan perniagaan.
Turut disampaikan pada malam berprestij itu ialah Anugerah Usahawan Mikro Komuniti, Anugerah Usahawan Mikro Muda, Anugerah Usahawan Mikro Revolusi Teknologi, Anugerah Usahawan Mikro Wanita, Anugerah Usahawan Mikro Inovasi, Anugerah Usahawan Cemerlang U-PLATS Digital, Anugerah Cemerlang U-PLATS Halal dan Anugerah Usahawan Cemerlang PLATS Biaya.
Selain mengiktiraf kecemerlangan penerima anugerah, MAPS 2026 turut mengetengahkan kisah kejayaan usahawan tempatan sebagai inspirasi kepada komuniti perniagaan serta memperhebat budaya keusahawanan berteraskan inovasi, pendigitalan dan daya saing.
Selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkasa ekonomi rakyat, PLATS terus memainkan peranan sebagai platform strategik yang menghubungkan kerajaan, industri dan komuniti usahawan dalam membina ekosistem keusahawanan yang progresif, inklusif dan mampan.
Usaha itu sekali gus memperluas peluang pertumbuhan, meningkatkan pendapatan usahawan dan menjana impak sosioekonomi yang berkekalan kepada Negeri Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
