Dua maut helikopter tentera AS terhempas

NEW YORK - Dua individu maut selepas sebuah helikopter Apache milik tentera Amerika Syarikat (AS) terhempas di tengah Texas pada Rabu, menurut pihak berkuasa, lapor Xinhua.
Helikopter itu terhempas di Salado, Texas kira-kira 1.35 tengah hari waktu tempatan dan kedua-dua juruterbangnya disahkan maut, kata jurucakap Pejabat Syerif Bell County, Cliff Coleman.
Pihak tentera memaklumkan pesawat berkenaan ialah helikopter penyerang AH-64 Apache yang berpangkalan di Fort Hood berhampiran, sebuah pangkalan utama Tentera Darat AS.
Kebakaran hutan yang tercetus akibat nahas itu memaksa beberapa kediaman dikosongkan.
Coleman berkata, helikopter itu tidak merempuh sebarang struktur atau orang awam.
"Ia terhempas di sebuah kawasan lapang dan jelas nahas itu sangat dahsyat," katanya.
Pihak berkuasa berkata, siasatan mengenai insiden itu telah dimulakan, manakala operasi tindak balas kecemasan sedang dijalankan.- Bernama-Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
