Indonesia naikkan yuran visa semasa ketibaan hingga Rp1 juta

JAKARTA - Indonesia mengumumkan kenaikan yuran visa semasa ketibaan (VOA) daripada Rp500,000 (Rp1 juta = RM228.40) kepada antara Rp750,000 hingga Rp1 juta sebagai sebahagian daripada pelarasan kadar fi imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Hendarsam Marantoko berkata, pelarasan itu mengambil kira turun naik kadar pertukaran rupiah, dengan kadar fi sedia ada disifatkan terlalu rendah dari segi hasil yang diterima kerajaan.
"Mereka yang mengisi permohonan e-visa di negara masing-masing akan dikenakan bayaran Rp750,000. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kesesakan apabila tiba di lapangan terbang," katanya seperti dipetik Agensi Berita Antara pada Rabu.
Hendarsam berkata, mereka yang tidak melengkapkan permohonan sebelum tiba di Indonesia pula akan dikenakan bayaran Rp1 juta, iaitu kadar lebih tinggi yang bertujuan menggalakkan pelancong menyelesaikan proses permohonan lebih awal.
Beliau berkata langkah itu juga bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan imigresen serta mengurangkan kesesakan di lapangan terbang ketika Indonesia berusaha mengekalkan dan meningkatkan kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dalam Anugerah Lapangan Terbang Dunia Skytrax. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
