Saringan Komuniti Covid-19 kenal pasti lima kes positif: Amirudin

AMIRUDIN
AMIRUDIN
A
A
A

SHAH ALAM - Saringan Komuniti Covid-19 pusingan pertama melibatkan 649 sampel bagi tempoh 11 hingga 12 April lalu telah mengenal pasti lima kes positif Covid-19 di Hulu Langat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada lima kes tersebut, empat daripada kes terbabit tidak bergejala.

Menurutnya, saringan komuniti ini disasarkan di lokaliti-lokaliti zon merah di daerah yang telah dikenal pasti hasil analisis data raya

"Saringan ke atas 649 sampel yang dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta menurut tatacara yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dilaksanakan di DUN Kajang, Sungai Ramal dan Dusun Tua," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan hasil saringan ini telah dihantar kepada PKD, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) KKM untuk diambil tindakan seterusnya.

Menurutnya, Selangor Task Force Covid-19 turut membantu KKM bagi memutuskan penularan rantaian wabak Covid-19 di negeri itu.

"Kerajaan negeri akan meneruskan saringan ini ke lokaliti-lokaliti zon merah lain dengan matlamat untuk melengkapi usaha yang dilaksanakan KKM dan mengenal pasti golongan berisiko tinggi terutamanya warga emas yang tidak mempunyai gejala.

"Maklumat lanjut mengenai saringan komuniti ini boleh diperolehi daripada Selangor Task Force Covid-19 di http://www.amirudinshari.com/stfc19," katanya.

Artikel Berkaitan: