Mahkamah AS sekat perintah Trump hadkan undi pos

Donald Trump - AFP
Donald Trump - AFP
A
A
A

WASHINGTON - Mahkamah daerah di Massachusetts menyekat pelaksanaan perintah eksekutif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengehadkan penggunaan undi pos, menurut dokumen mahkamah yang diteliti Sputnik/RIA Novosti.

Perintah yang ditandatangani pada 31 Mac itu mengarahkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri menyusun senarai warganegara AS yang layak berdasarkan daftar persekutuan bagi memastikan hanya mereka yang layak menerima kertas undi pos.

Lebih 20 negeri mencabar perintah itu di mahkamah dengan alasan ia akan menyebabkan sebahagian pengundi tercicir daripada proses pengundian.

"Defendan, termasuk pegawai, ejen, kakitangan dan pekerja mereka, dihalang sementara daripada melaksanakan, menguatkuasakan atau memberi kesan kepada Seksyen 3 Perintah Eksekutif No. 14399 berhubung pilihan raya persekutuan pada 3 Nov 2026 atau mana-mana pilihan raya persekutuan yang diadakan lebih awal," menurut keputusan mahkamah itu.

Trump berulang kali mendakwa beliau tewas dalam pilihan raya 2020 akibat penggunaan undi pos secara penipuan oleh Parti Demokrat.

Calon Demokrat Joe Biden memenangi pilihan raya berkenaan. Trump sendiri mengundi melalui pos pada pilihan raya khas di Florida pada Mac. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!