'Jangan korbankan tanah Selangor untuk tapak sampah'

Pertambahan penjanaan sampah yang kini mencecah hampir 10,000 tan sehari berisiko memenuhkan kawasan seluas 40.47 hektar tapak pelupusan dalam tempoh seawal enam hingga tujuh tahun
Pertambahan penjanaan sampah yang kini mencecah hampir 10,000 tan sehari berisiko memenuhkan kawasan seluas 40.47 hektar tapak pelupusan dalam tempoh seawal enam hingga tujuh tahun
A
A
A

SHAH ALAM - Tabiat masyarakat di Selangor dalam menguruskan sisa pepejal perlu diubah secara drastik bagi mengelakkan lebih banyak tanah negeri itu ‘dikorbankan’ untuk dijadikan tapak pelupusan sampah.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, pertambahan penjanaan sisa yang kini mencecah hampir 10,000 tan sehari berisiko menyebabkan kawasan tapak pelupusan seluas 40.47 hektar dipenuhi sampah dalam tempoh seawal enam hingga tujuh tahun.

"Sampah ini datang daripada kita sendiri, bukan orang lain. Jadi, kita perlu pastikan ada kesedaran dan kefahaman untuk mengurangkan sampah dari peringkat awal atau at source.

​"Langkah mudah seperti membawa bekas makanan sendiri, mengurangkan penggunaan plastik, serta mengasingkan bahan kitar semula seperti PPE, HDPE, kotak dan kertas mampu mengelakkan sisa terus dilupuskan ke tapak pelupusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KDEBWM dan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) bagi membangunkan semula bekas Tapak Pelupusan Telok Kapas, Pasir Panjang, Klang di Wisma Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Rabu.

​MoU itu ditandatangani Ramli bersama Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin, dengan disaksikan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim.

Ramli
Ramli

Mengulas lanjut, Ramli berkata peningkatan jumlah sisa harian itu turut dipengaruhi pertambahan populasi Selangor yang kini mencecah 7.5 juta penduduk.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setiap individu dianggarkan menghasilkan kira-kira 1.2 kilogram sampah sehari.

Menurutnya, daripada jumlah hampir 10,000 tan sehari itu, kira-kira 7,500 tan adalah sisa domestik organik dari kediaman dan premis komersial, manakala hampir 3,000 tan lagi membabitkan sampah pukal serta pembersihan awam.

​"Kadar penjanaan sampah ini direkodkan secara konsisten sejak empat tahun lalu menerusi data bulanan daripada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

​"Ia sukar dikawal berikutan pertambahan penduduk yang berterusan setiap tahun merangkumi kemasukan pelajar, pekerja, graduan, selain dianggarkan hampir satu juta pekerja asing di negeri ini," katanya.

Berdasarkan rekod pengurusan, PBT di Selangor terpaksa memperuntukkan antara RM80 juta hingga RM100 juta setahun hanya untuk menampung kos pelupusan di pelbagai tapak seperti Tanjong 12, Jeram, Bukit Tagar, Semenyih, dan Sungai Sabai.

​Bagi menguruskan pengutipan sisa harian berkenaan, KDEBWM kini mengerahkan kira-kira 1,300 lori khas yang beroperasi mengikut PBT masing-masing.

Dalam pada itu, Ramli mendedahkan kawasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kekal sebagai penyumbang sampah tertinggi di Selangor berikutan faktor kepadatan penduduk dan pembangunan pesat.

​"MPKj merekodkan pengutipan sampah tertinggi iaitu antara 1,200 hingga 1,300 tan sehari. Ini selari dengan jumlah penduduknya yang ramai mencecah 1.3 juta orang serta inventori kediaman melebihi 390,000 unit," katanya.

​Sementara itu, Izham ketika ditemui memaklumkan, kerajaan Selangor komited meneroka teknologi hijau pemprosesan sisa dan pemulihan tapak pelupusan terbiar bagi memastikan kelangsungan alam sekitar serta penggunaan tanah yang lebih mampan di negeri itu pada masa depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!