Bekas tapak pelupusan Telok Kapas bakal jadi aset hijau Selangor

Dari kiri, Ramli, Suee Lim, Izham dan Syaiful pada Majlis MoU antara KDEBWM dan LLSB bagi membangunkan semula tapak seluas kira-kira 80 ekar itu yang ditutup sejak 2007.
Dari kiri, Ramli, Suee Lim, Izham dan Syaiful pada Majlis MoU antara KDEBWM dan LLSB bagi membangunkan semula tapak seluas kira-kira 80 ekar itu yang ditutup sejak 2007.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Tapak Pelupusan Telok Kapas, Pasir Panjang, Klang yang pernah menempatkan kira-kira satu juta tan sisa berpotensi ditransformasikan menjadi pusat pemulihan sumber dan pengurusan sisa inert terkawal berteraskan ekonomi kitaran.

Potensi itu diteroka menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) dan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) bagi membangunkan semula tapak seluas kira-kira 80 ekar itu yang ditutup sejak 2007.

Kerjasama itu bagi meneroka pembangunan Integrated Resource Recovery Centre and Inert Landfill Management Facility, merangkumi pemulihan tapak, pengurusan sisa inert secara terkawal, pemulihan bahan bernilai serta potensi integrasi tenaga boleh baharu pada masa hadapan.

Menurut Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir, pendekatan itu penting bagi mengubah persepsi terhadap bekas tapak pelupusan daripada sekadar liabiliti alam sekitar kepada aset yang mampu memberi nilai ekonomi dan alam sekitar kepada Selangor.

Beliau berkata, model operasi sedang diteroka menyasarkan kadar pemulihan bahan boleh dikitar semula sehingga 70 hingga 80 peratus, tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan, penilaian teknikal dan model operasi yang bakal dimuktamadkan.

“Waste is no longer simply waste. Sisa mempunyai nilai dan tugas kita adalah memastikan sebanyak mungkin nilai tersebut dapat dipulihkan sebelum sesuatu sisa itu benar-benar perlu dilupuskan,” katanya ketika ditemui selepas majlis MoU ditandatangani Ramli dan Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin.

Ramli Mohd Tahir
Ramli Mohd Tahir

Majlis pemeteraian MoU di Wisma Dewan Undangan Negeri Selangor itu disaksikan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ramli berkata, pendekatan berkenaan bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan, malah menyokong agenda ekonomi kitaran, kecekapan sumber dan pembangunan rendah karbon negeri.

Pada masa sama, KDEBWM mahu memastikan model pembangunan itu berdaya maju secara komersial dan mampan dari segi kewangan, termasuk mampu menanggung kos operasi, penyelenggaraan serta kerja pemulihan dan penutupan selamat tapak dalam jangka panjang.

Syaiful Azmen Nordin
Syaiful Azmen Nordin

Sementara itu, Syaiful berkata, kerjasama itu perlu dilihat dalam skop lebih luas kerana pembangunan semula Telok Kapas bukan sekadar pemulihan sebuah bekas tapak pelupusan, sebaliknya sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan antara pengurusan sisa, pemulihan alam sekitar dan masa depan Sungai Klang.

Katanya, sebagai pemaju induk Selangor Maritime Gateway (SMG), LLSB melihat pemulihan Sungai Klang perlu disokong oleh pengurusan alam sekitar yang menyeluruh, termasuk pengurusan risiko daripada kawasan daratan dan tapak terbiar.

“Pemulihan Telok Kapas berpotensi menyumbang kepada persekitaran lembangan sungai yang lebih terkawal dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata, Sungai Klang juga perlu dilihat bukan sekadar sebagai sungai yang perlu dibersihkan, tetapi aset alam sekitar dan ekonomi negeri yang mampu membuka ruang kepada pembangunan lebih bertanggungjawab, termasuk aktiviti komuniti, rekreasi, ekopelancongan dan pengaktifan sungai pada masa hadapan.

Dalam jangka panjang, jelasnya, Telok Kapas turut berpotensi diintegrasikan dengan tenaga boleh baharu sebagai sebahagian daripada aspirasi pembangunan rendah karbon SMG.

“Nilai sebenar kerjasama ini bukan hanya terletak pada pemulihan sebuah tapak, tetapi bagaimana tapak tersebut boleh menjadi sebahagian daripada transformasi lebih besar untuk Klang, daripada kawasan yang mempunyai risiko alam sekitar kepada satu komponen dalam ekosistem pembangunan yang lebih hijau, berdaya tahan dan mampan,” katanya.

Bekas Tapak Pelupusan Telok Kapas mempunyai ketinggian timbunan sehingga kira-kira 15 meter dari aras laut dan antara cabaran yang dikenal pasti termasuk pemendapan jangka panjang, kontur tapak yang tidak sekata serta kestabilan cerun.

Sehubungan itu, kerja pemulihan dan reprofiling perlu dilaksanakan secara terancang sebelum pembangunan semula dapat direalisasikan.

MoU itu menjadi kerangka awal bagi kedua-dua pihak menjalankan kajian lebih terperinci termasuk kajian kebolehlaksanaan, penilaian teknikal dan alam sekitar, pemodelan kewangan serta pembangunan model operasi sebelum cadangan dikemukakan untuk kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

KDEBWM turut melihat pendekatan itu berpotensi menjadi model pemulihan bekas tapak pelupusan untuk dipertimbangkan di lokasi lain di Selangor.

Matlamat akhir kedua-dua pihak adalah menukar sisa kepada sumber, liabiliti kepada aset dan tapak terbiar kepada aset hijau yang produktif demi kepentingan negeri serta generasi akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!