DUN Kelantan lulus RUU Kesalahan Syariah 2026

KOTA BHARU – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Rabu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 sebagai menggantikan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini.
RUU berkenaan dibentangkan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dan dibahaskan oleh enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Pasir Tumboh, Galas, Melor, Kota Lama, Jelawat dan Chempaka pada Selasa.
Dr Mohamed Fadzli dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud kemudian menggulung sebelum RUU terbabit sebulat suara diluluskan di hadapan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
RUU bertujuan bagi mengadakan peruntukan kesalahan takzir dan hukuman di bawah hukum syarak serta perkara yang berkaitan dengannya.
RUU tersebut mengandungi sembilan bahagian, 62 fasal dan satu jadual dengan beberapa pembaharuan termasuk peruntukan berkaitan kewajipan solat fardu, penjagaan alat kemaluan dan anggota badan, penjagaan akal, hukuman restoratif, mengutamakan hukuman sebatan serta mekanisme kompaun.
Dalam ucapan penggulungan, Mohd Nassuruddin berkata, RUU berkenaan digubal dengan perancangan rapi, teliti dan penambahbaikan di pelbagai peringkat sebelum dibawa ke dewan persidangan.

Menurutnya, keistimewaan RUU itu terletak pada pemerkasaanya yang berpaksikan Maqasid Syariah (mengikut matlamat Islam) dengan setiap peruntukan kesalahan disusun supaya selari dengan objektif pensyariatan Islam.
“Pendekatan ini bukanlah suatu langkah yang asing kerana ia merupakan roh yang sudah sedia wujud dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (I) 2019.
“Kami melangkah setapak lagi dengan memperkemas dan memperkukuh susunannya agar ia tampil lebih sistematik, lebih jelas dan lebih berwibawa,” katanya.
Pada 9 Februari 2024, Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan majoriti 8-1 mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah kerana DUN tidak mempunyai kuasa menggubal kesalahan yang berada dalam bidang kuasa Persekutuan.
Keputusan itu dibuat susulan petisyen yang difailkan seorang peguam dari Kelantan, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid bersama anaknya, Tengku Yasmin Tengku Mohd Yasin, berhubung isu bidang kuasa negeri dalam menggubal undang-undang jenayah syariah.
Mohd Nassuruddin juga menegaskan, kerajaan negeri akan terus mempertahankan peruntukan berkaitan syariah melalui RUU berkenaan sekiranya masih ada pihak cuba dipertikaikannya sekali lagi atau berkali-kali.
“Jika dicabar lagi, kami akan bangkit, akan berhujah lagi dan lagi.
“Ini adalah tanggungjawab kami sebagai pemimpin negeri yang akan disoal di akhirat nanti,” tegasnya.
Mohd Nassuruddin berkata, RUU itu turut mengambil kira prinsip Maqasid Syariah meliputi penjagaan agama, nyawa, akal, harta serta keturunan dan nasab.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa komited terhadap perkara yang dibangkitkan ADUN sepanjang perbahasan, termasuk keperluan menambah bilangan pegawai penyiasatan dan penguatkuasaan serta menambah baik kemudahan dan keselesaan prasarana.
“Kami akan bincang dan diperhalusi untuk RUU ini dilaksanakan berdasarkan kemampuan semasa kerajaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

