Tak faham BM, pertuduhan lelaki Bangladesh bunuh tiga rakan senegara ditangguh esok

SEREMBAN - Seorang lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh tiga rakan senegara, awal bulan ini.
Tertuduh, Md Idris Ali, 43, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Bagaimanapun, Nurul Saqinah memutuskan supaya jurubahasa Bangaldesh dipanggil bagi membacakan semula pertuduhan selepas mendapati lelaki itu sukar memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Malaysia (BM).
Berikutan itu mahkamah menetapkan 13 Ogos ini untuk pertuduhan dibacakan semula ke atas tertuduh dalam bahasa yang difahaminya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh Md Nozrul Islam, Mohasin dan Kiron Miah iaitu suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perbuatan itu masing- masing dilakukan di lorong belakang rumah dekat Taman Linggi dan sebuah ladang sawit di Sua Manggis, Port Dickson dari jam 3.30 petang hingga jam 4 petang.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, boleh dihukum sehingga 12 sebatan.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, tertuduh turut berdepan pertuduhan cubaan membunuh warga Bangladesh, Md Kajal Mondol di Taman Linggi jam 4 petang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Hakim Tasnim Abu Bakar menetapkan tarikh sama untuk membacakan semula pertuduhan dalam bahasa yang difahami tertuduh.
Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

