[VIDEO] Guru prasekolah didakwa amang seksual murid lelaki dalam kelas
SEREMBAN - Seorang guru lelaki prasekolah di Rembau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak murid lelakinya berusia lapan tahun, April lalu.
Tertuduh, Muhamad Shazali T Sharipudin, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.
Kesalahan itu dilakukan pada 1 dan 3 April lalu di dalam kelas pra sekolah sebuah sekolah di Rembau pada jam 9 pagi dan 10 pagi.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a)Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan.
Peguam, Syed Amirul Syed Edros yang merayu supaya jumlah jaminan bersesuaian dapat diberikan memaklumkan bahawa tertuduh sudah bekerja sebagai guru selama 17 tahun dengan pendapatan bersih RM4,000, masih bujang serta menanggung ibunya.
Katanya, tertuduh tidak mempunyai risiko melarikan diri dan hingga kini berada dalam jaminan polis selain telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah Rembau.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai seta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan 15 September depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

