[VIDEO] Sebar dakwaan palsu di Threads, pekerja mohon maaf fitnah Nasken Coffee

A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pekerja tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Nasken Coffee atas fitnah mendakwa majikannya gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Hantaran tersebut dimuat naik di Threads oleh lelaki berusia 23 tahun yang sudah bekerja selama tiga tahun di syarikat berkenaan.

Dia telah mengakui kesilapan dan menyesali tindakannya itu memberi kesan negatif buat Nasken Coffee yang mempunyai 42 cawangan kafe serta lebih 600 pekerja di seluruh negara.

"Saya ingin memohon maaf kepada pihak syarikat dan kenyataan-kenyataan yang saya terbitkan di dalam aplikasi Threads.

"Saya akui apa yang diterbitkan adalah tidak benar. Ianya punca daripada kesilapan saya melihat rekod KWSP," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Nasken Coffee, Mohd Nazif Ab Aziz.

Pekerja terbabit dikatakan memuat naik hantaran berbaur fitnah di Threads pada Sabtu lalu sehingga mengundang pelbagai reaksi negatif warganet terhadap Nasken Coffee.

Dia juga berjanji tidak akan mengeluarkan lagi apa-apa kenyataan yang tidak benar terhadap syarikat.

Artikel Berkaitan:

Pekerja Nasken Coffee (kanan) tampil memohon maaf maaf secara terbuka atas fitnah yang mendakwa majikannya gagal membayar caruman KWSP. Hadir sama ialah Mohd Nazif (kiri) dan Adnan (dua dari kiri). Foto:SINAR HARIAN/ HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Pekerja Nasken Coffee (kanan) tampil memohon maaf maaf secara terbuka atas fitnah yang mendakwa majikannya gagal membayar caruman KWSP. Hadir sama ialah Mohd Nazif (kiri) dan Adnan (dua dari kiri). Foto:SINAR HARIAN/ HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Sementara itu Peguam Nasken Coffee, Datuk Adnan Seman @ Abdullah berkata, semakan terhadap rekod syarikat mendapati pembayaran gaji kepada pekerja terbabit dibuat sepenuhnya sepanjang hampir tiga tahun dia berkhidmat.

Menurut beliau, dakwaan mengenai tunggakan caruman KWSP selama empat bulan juga tidak benar kerana caruman berkenaan sebenarnya dibuat setiap bulan.

"Berdasarkan rekod syarikat, pekerja ini sudah berkhidmat hampir tiga tahun dan sepanjang tempoh berkenaan gajinya dibayar sepenuhnya tanpa kelewatan seperti yang didakwa.

"Begitu juga dakwaan caruman KWSP tidak dibayar selama empat bulan dan sebenarnya caruman itu sudah dibayar setiap bulan, cuma pekerja terbabit tersalah faham apabila melihat rekod pembayaran," katanya.

Ujar beliau, disebabkan salah faham berkenaan, pekerja yang itu membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui kenyataan yang dimuat naik aplikasi Threads sebelum ini adalah tidak benar.

Katanya, di atas budi bicara dan sifat perikemanusian, pihak Nasken Coffee memutuskan tidak akan mengambil tindakan guaman terhadap pekerja itu.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan pihaknya mengambil serius penyebaran dakwaan tidak berasas di media sosial kerana ia boleh menjejaskan reputasi syarikat yang mempunyai lebih 600 pekerja.

Dalam perkembangan sama, Adnan memberitahu, pihaknya turut mengeluarkan surat tuntutan kepada seorang pemilik akaun media sosial menggunakan nama Zura berhubung dakwaan bahawa seorang ahli keluarganya yang bekerja dengan syarikat berkenaan tidak menerima caruman KWSP selama dua hingga tiga tahun.

"Berdasarkan rekod syarikat, tiada tunggakan caruman seperti yang didakwa.

"Surat tuntutan sudah dikeluarkan pada 12 Mac lalu dan pihak kami dimaklumkan pemilik akaun berkenaan sudah melantik peguam serta bersedia menerima saman.

"Jadi, kita akan meneruskan proses pemfailan saman dan memberi ruang kepada pihak terbabit mengemukakan bukti di mahkamah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!