Alasan ‘tidak sengaja’ tidak boleh lagi dibenarkan

Menghormati Jalur Gemilang bermula dengan memastikan ia dipasang dengan cara yang betul.
Menghormati Jalur Gemilang bermula dengan memastikan ia dipasang dengan cara yang betul.
A
A
A

SETIAP kali sambutan Bulan Kemerdekaan, sebagai rakyat, kita digalakkan memasang Jalur Gemilang menghiasi kediaman, pejabat dan kenderaan sebagai tanda kecintaan kepada negara.

Bagaimanapun, semangat patriotik itu sering kali dicemari dengan insiden memasang Jalur Gemilang terbalik malah kesilapan itu berulang hampir setiap tahun.

Harapan sebesar-besarnya agar isu ini tidak berlaku lagi sepanjang meraikan sambutan kemerdekaan negara ke-69, 31 Ogos ini.

Bagi penulis, alasan tidak sengaja, kecuaian dan kesilapan teknikal tidak boleh diterima untuk 'membenarkan' bendera kebanggaan negara berkibar terbalik lagi.

Apatah lagi perbuatan itu memang disengajakan sebagai cubaan menghasut, melakukan provokasi atau tidak menghormati lambang negara.

Paling dikesalkan, terdapat sesetengah pihak yang seolah-olah mempertahankan tindakan memasang bendera secara terbalik dengan menganggap perbuatan itu perkara kecil yang tidak sepatutnya diperbesarkan.

Bagi mereka, tindakan tegas dalam isu itu hanya akan menakutkan orang ramai untuk pasang Jalur Gemilang bagi menyemarakkan Bulan Kemerdekaan.

Pakar bahasa dan perpaduan, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong melalui laporan sebuah portal berita tahun lalu mengatakan mana-mana individu sengaja mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik disifatkan biadab dan satu bentuk provokasi melampau terhadap rakyat dan negara ini.

Tegasnya, perbuatan itu terus berulang saban tahun di sebalik tindakan undang-undang yang diambil sebelum ini, sekali gus memerlukan satu bentuk hukuman lebih keras termasuk menarik balik kewarganegaraan pelakunya.

Artikel Berkaitan:

Lebih enam dekad negara merdeka, Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain bercorak yang dipasang untuk menceriakan suasana sambutan tetapi sebagai lambang kebesaran, kedaulatan dan maruah negara.

Justeru, pemasangannya sepatutnya dibuat dengan penuh tertib dan tanggungjawab.

Kesilapan itu memang sepatutnya tidak berlaku kerana sebagai rakyat semestinya wajib tahu setiap ciri pada Jalur Gemilang termasuk atas bawahnya.

Berdasarkan laporan media, polis menerima 38 laporan berhubung pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik yang tular di media sosial di seluruh negara tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 17 laporan dibuat di Pulau Pinang manakala 21 lagi di negeri-negeri lain.

Antara kes yang mendapat perhatian tahun lalu, bendera terbalik di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Port Dickson, Negeri Sembilan; Jalur Gemilang dan bendera Johor terbalik di sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Tebrau, Johor dan perbuatan mengibarkan Jalur Gemilang terbalik di hadapan sebuah kedai perkakasan di Taman Bertam Permata, Kepala Batas.

Berdasarkan kes-kes yang dilaporkan, kebanyakannya memberi alasan 'kesilapan' tidak disengajakan,namun bagi penulis perbuatan itu tidak boleh dilepaskan cukup dengan meminta maaf sebaliknya niat pihak terlibat tetap perlu dibuktikan melalui siasatan.

Dari sudut tanggungjawab awam, kecuaian tidak seharusnya dijadikan alasan mengambil mudah simbol negara itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melalui kenyataannya sebelum ini menyebut siasatan kes bendera Malaysia dipasang terbalik perlu dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan sama ada kesilapan itu disengajakan atau akibat kekhilafan individu tertentu.

Beliau turut berkata, sebarang tindakan tegas atau hukuman berat bagi kesalahan itu juga perlu dilihat mengikut kesesuaian undang-undang sedia ada.

Sudah tiba masanya setiap pihak yang memasang, mencetak, memaparkan atau mengibarkan Jalur Gemilang mengambil tanggungjawab lebih serius.

Kemerdekaan bukan sekadar diraikan dengan laungan dan kibaran bendera. Menghormati Jalur Gemilang bermula dengan memastikan ia dipasang dengan cara yang betul.

Jika lambang negara sendiri tidak mampu kita jaga dengan cermat, apakah makna sebenar semangat kemerdekaan yang kita laungkan setiap tahun?

*Nik Amirulmu'Min Nik Min ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!