348 tan daging ayam, khinzir sejuk beku dalam 12 kontena disita di Sepanggar

KOTA KINABALU - Sebanyak 348 tan daging ayam dan khinzir sejuk beku yang disimpan dalam 12 kontena di Pelabuhan Sepanggar di sini disita Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), membabitkan nilai dagangan RM3.42 juta.
Rampasan itu susulan penahanan 14 kontena pada Julai lalu membabitkan nilai hampir RM3 juta, selepas pemeriksaan mendapati dagangan terbabit dipercayai dibawa masuk dari China dan Hong Kong.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan menerusi Ops Ribat Sepanggar dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS) dan Pihak Berkuasa Pelabuhan.
Beliau berkata, operasi berkenaan bermula pada 19 Mei lalu bagi membanteras kemasukan dagangan produk haiwan secara tidak sah ke negara ini.
"Rentetan daripada Ops Ribat Sepanggar tersebut, didapati sebanyak 12 kontena telah dikenal pasti dan tidak boleh diperiksa kerana masih lagi dalam ruang masa untuk diisytiharkan.
"Kita tidak boleh mengambil tindakan pada masa tersebut, sehingga cukup 30 hari tempoh yang diberikan untuk pengisytiharan, tetapi gagal.
"Jadi kita mengambil keputusan pada 16 Julai yang lalu untuk memeriksa 12 lagi kontena dan ternyata apa yang kita dapat lihat hasil pemeriksaan adalah barangan daging beku dari China dan Hong Kong," katanya ketika sidang akhbar di Pelabuhan Sepanggar, di sini, pada Jumaat.
Mohd Shuhaily berkata, hasil pemeriksaan mendapati 11 kontena mengandungi daging ayam sejuk beku, manakala satu lagi mengandungi daging khinzir sejuk beku.
"Kesemua kontena dipercayai telah dibawa masuk melalui pengikraran yang tidak selaras dan melibatkan berat keseluruhan sebanyak 348,000 kilogram dengan nilai dagangan berjumlah RM3,422,000 dan dipercayai berasal dari China serta Hong Kong," katanya.
Susulan penemuan itu, AKPS menyita keseluruhan dagangan berkenaan untuk siasatan lanjut dan tindakan.
Mohd Shuhaily berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 133(1) Akta Kastam 1967 kerana gagal membuat akuan penuh dan benar serta membuat perakuan atau dokumen tidak benar dalam perkara material.
Beliau berkata, setakat ini pemilik sebenar 12 kontena berkenaan masih belum dikenal pasti kerana tiada pengisytiharan dibuat dan tiada pihak tampil menuntut dagangan terbabit.
Menurutnya, AKPS sedang meneliti kemungkinan mengaitkan ejen yang terlibat dengan kes berkenaan sebelum tindakan pendakwaan dipertimbangkan.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan pemeriksaan, dagangan dalam 12 kontena terbabit dipercayai untuk kegunaan dalaman di Sabah.
Beliau berkata, pihaknya turut menemui label halal pada sebahagian produk berkenaan, namun semakan mendapati terdapat perkara yang menimbulkan persoalan mengenai label terbabit.
"Halal Thailand dan Malaysia, tetapi seperti saya katakan sebelum ini, bagaimana sijil Halal Malaysia boleh keluar daripada negara China," katanya.
Mohd Shuhaily berkata, semakan turut mendapati kapal yang membawa dagangan berkenaan tidak pernah berhenti atau berlabuh di Thailand, walaupun terdapat label halal yang menunjukkan pengesahan daripada pihak berkuasa negara berkenaan.
Secara keseluruhan, katanya, sejak April lalu, AKPS berjaya menahan hampir 40 kontena yang membawa jumlah rampasan hampir RM6.7 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
