Arus deras, jeram semula jadi cabaran operasi cari kanak-kanak disyaki lemas - Bomba

SUBANG JAYA – Keadaan arus sungai yang deras serta kewujudan beberapa jeram semula jadi menjadi cabaran pasukan bomba dalam usaha mengesan kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia tujuh tahun yang dikhuatiri lemas di sini pada Isnin.
Mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai ketika bermain bersama rakan-rakannya berhampiran sebuah pasar raya di Persiaran Subang Indah kira-kira jam 6.30 petang Isnin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pencarian diperluaskan mengikut laluan arus sungai sehingga melebihi lapan kilometer menghala ke Sri Muda dan Sungai Kandis berikutan keadaan arus yang laju.
"Pencarian dibahagikan kepada tiga sektor dan menggunakan tiga bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi kaedah pencarian di permukaan air.
"Tiga bot diturunkan di lokasi mengikut sektor bagi meneruskan usaha mengesan mangsa pada jam 3 pagi tadi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ashrul Riezal berkata, pada jam 9.25 pagi Selasa, anggota menjalankan pencarian di pusat pemeriksaan kedua iaitu laluan menghala ke Puchong menggunakan bot menerusi kaedah pencarian di permukaan air.
"Antara cabaran dihadapi pasukan penyelamat ialah kebimbangan hujan di kawasan hulu yang boleh menyebabkan keadaan arus menjadi semakin deras," katanya.
Menurutnya, selain itu, terdapat beberapa kawasan yang mempunyai jeram semula jadi menyebabkan bot tidak dapat melalui laluan berkenaan.
"Keadaan itu memaksa pasukan penyelamat memindahkan bot menggunakan treler bagi meneruskan pencarian.
"Operasi membabitkan sembilan anggota dengan aset sebuah jentera, dua bot dan sebuah kenderaan pacuan empat roda," katanya.
Pada Isnin media melaporkan, JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.06 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya tiba di lokasi.
Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Shah Alam dan BBP Pelabuhan Klang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
