PERKAM gesa Perhilitan tampil jelaskan nasib tiga gajah di Osaka

Profesor Dr S Santharasekaran
Profesor Dr S Santharasekaran
A
A
A

IPOH - Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM) menggesa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tampil memberikan penjelasan terbuka berhubung keadaan tiga ekor gajah Malaysia yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.

Presidennya, Profesor Dr S Santharasekaran berkata, penjelasan itu penting berikutan pelbagai persoalan yang timbul berkaitan aspek kebajikan, keselamatan, pengurusan dan pemantauan ketiga-tiga gajah berkenaan yang dikenali sebagai DAK.

Menurutnya, Perhilitan sebagai jabatan yang bertanggungjawab terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan liar negara perlu menjelaskan secara terperinci status terkini DAK, termasuk mekanisme pemantauan yang dilaksanakan selepas ketiga-tiga haiwan itu dihantar ke Jepun.

“PERKAM mahu Ketua Pengarah Perhilitan bersuara kerana jabatan ini merupakan pihak yang bertanggungjawab terhadap isu pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan liar Malaysia, termasuk haiwan yang dihantar ke luar negara.

“Jangan sampai apabila timbul persoalan mengenai kebajikan dan keselamatan haiwan, pihak yang bertanggungjawab hanya berdiam diri. Rakyat berhak mengetahui keadaan sebenar tiga ekor gajah kita di Osaka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kebimbangan itu semakin meningkat selepas pihaknya menerima maklumat dan rakaman video daripada aktivis pencinta gajah yang berada di Osaka berhubung tingkah laku DAK dari semasa ke semasa.

Santharasekaran mendakwa, beberapa tingkah laku gajah jantan, Kelat, termasuk episod yang dikaitkan dengan keadaan ‘turun minyak’ serta pengasingannya daripada dua gajah betina, Amoi dan Dara, perlu diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa.

Katanya, perkara itu tidak wajar dilihat secara terpisah kerana perubahan tingkah laku haiwan boleh berkait dengan faktor persekitaran, tekanan, pengurusan atau keadaan fizikal yang memerlukan penilaian profesional.

“Jika benar terdapat perubahan tingkah laku yang ketara, siapakah yang membuat penilaian veterinar dan kebajikan terhadap gajah-gajah ini?

Artikel Berkaitan:

“Adakah laporan pemantauan berkala disediakan dan dihantar kepada Perhilitan? Jika ada, apakah dapatan laporan tersebut?” soalnya.

Persoal kaedah pengayaan makanan

Dalam pada itu, PERKAM turut mempersoalkan kaedah pengayaan makanan yang digunakan terhadap DAK, khususnya penggunaan jaring makanan atau bahan yang digantung bagi membolehkan gajah mendapatkan makanan.

Santharasekaran berkata, pengayaan makanan sememangnya boleh menjadi sebahagian daripada pengurusan haiwan dalam kurungan, namun kaedah yang digunakan perlu bersesuaian dengan tingkah laku semula jadi sesuatu spesies.

Menurutnya, gajah di habitat semula jadi menggunakan pelbagai teknik untuk mendapatkan makanan termasuk mencari, menyodok tanah, menarik tumbuhan serta mengunyah batang dan kulit kayu.

“Gajah mempunyai naluri mencari makanan yang sangat kompleks. Oleh itu, bahan pengayaan sepatutnya merangsang tingkah laku semula jadi dan bukan sekadar menjadi satu bentuk aktiviti untuk mendapatkan makanan.

“Bahan seperti bongkah kayu, batang tebu, batang pisang, rotan dan tumbuhan yang sesuai boleh digunakan sekiranya ia memenuhi keperluan pemakanan serta keselamatan gajah,” katanya.

Beliau berkata, PERKAM tidak mempertikaikan konsep pengayaan makanan secara keseluruhan, sebaliknya mahu kaedah yang digunakan terhadap DAK dinilai secara objektif oleh pakar bebas.

Mahu audit kebajikan bebas

Santharasekaran turut mempersoalkan pihak yang menjalankan audit kebajikan dan keselamatan terhadap DAK sepanjang berada di Zoo Tennoji.

Katanya, penilaian terhadap keadaan gajah tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada penjelasan pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan atau penempatan haiwan berkenaan.

“Kita mahu satu badan pihak ketiga yang bebas, terdiri daripada doktor veterinar, pakar gajah, aktivis hidupan liar dan pencinta alam untuk menilai keadaan sebenar DAK.

“Penilaian bebas penting supaya sebarang dakwaan mengenai kebajikan, keselamatan atau pengurusan gajah dapat disahkan berdasarkan pemeriksaan dan bukti, bukan hanya berdasarkan kenyataan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata, hasil penilaian itu juga perlu dimaklumkan kepada rakyat Malaysia bagi menghilangkan kebimbangan yang semakin timbul berhubung nasib ketiga-tiga gajah berkenaan.

Dakwa tempoh lima bulan di Jepun

Menurut Santharasekaran, DAK dihantar ke Osaka pada 10 Mac lalu sebelum diterbangkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11 Mac 2026.

Katanya, ketiga-tiga gajah itu kini sudah kira-kira lima bulan berada di Jepun dan sepanjang tempoh tersebut pelbagai persoalan berkaitan keadaan mereka timbul.

Antara perkara yang dibangkitkan termasuk keluasan kawasan, keadaan prasarana, kualiti air kolam, persekitaran yang berbeza daripada habitat asal serta kaedah pemakanan.

“Gajah merupakan haiwan yang memerlukan ruang, rangsangan mental dan persekitaran yang sesuai dengan sifat semula jadinya.

“Justeru, kita mahu Perhilitan menjelaskan apakah kriteria yang digunakan sebelum DAK dihantar ke Zoo Tennoji dan apakah bentuk pemantauan yang dilakukan selepas mereka berada di sana,” katanya.

Persoal dakwaan pembiakan paksa

PERKAM turut membangkitkan persoalan berhubung dakwaan kemungkinan berlaku pembiakan secara paksa terhadap Kelat.

Santharasekaran berkata, pihaknya mahu penjelasan sama ada terdapat sebarang penggunaan hormon atau kaedah perubatan tertentu bagi merangsang proses pembiakan gajah berkenaan.

Menurutnya, sebarang dakwaan berkaitan pembiakan paksa perlu disiasat dan dinilai secara profesional kerana ia membabitkan aspek kebajikan serta kesihatan haiwan.

“PERKAM tidak mahu membuat kesimpulan tanpa bukti. Sebab itu kita meminta pihak bertanggungjawab memberikan penjelasan dan membenarkan pemeriksaan bebas dilakukan.

“Sekiranya tiada pembiakan paksa seperti yang dijelaskan oleh pihak berkaitan, maka pemeriksaan bebas juga dapat membantu mengesahkan perkara tersebut dan menghapuskan keraguan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kehadiran mahut yang mempunyai kemahiran menggunakan ubat pelali di Zoo Tennoji dan meminta Perhilitan menjelaskan tujuan serta skop tugasan mereka.

MPT sudah beri penjelasan

Dalam perkembangan berkaitan, Santharasekaran mengakui Majlis Perbandaran Taiping (MPT) sebelum ini telah memberikan penjelasan bahawa tiada pembiakan paksa dilakukan terhadap DAK berdasarkan memorandum persefahaman yang dimeterai berkaitan penempatan ketiga-tiga gajah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, penjelasan itu masih belum meredakan kebimbangan aktivis dan pencinta haiwan kerana rakaman video serta maklumat yang diterima dari Osaka terus menimbulkan persoalan mengenai tingkah laku dan keadaan gajah tersebut.

“Jika semuanya berada dalam keadaan baik, tidak ada sebab untuk takut kepada pemeriksaan pihak ketiga.

“Sebaliknya, audit bebas akan menguntungkan semua pihak kerana ia dapat menentukan sama ada kebajikan DAK benar-benar terjamin atau sebaliknya,” katanya.

Mahu dokumen penghantaran diperjelas

Selain aspek kebajikan, PERKAM turut mempersoalkan tatakelola serta dokumentasi berkaitan penghantaran DAK ke Jepun.

Santharasekaran mendakwa terdapat beberapa persoalan yang perlu dijelaskan termasuk berkaitan dokumen pelupusan aset hidup, permit penghantaran, rekod keluar masuk serta penggunaan nama Zoo Taiping dan Night Safari sebagai pusat pemindahan.

Menurutnya, perkara itu perlu diperjelaskan kerana DAK sebelum ini dikaitkan dengan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah, Pahang.

“PERKAM mahu semua dokumen berkaitan proses penghantaran dan penempatan DAK dapat diteliti secara telus.

“Apabila melibatkan khazanah hidupan liar negara, aspek dokumentasi dan tatakelola tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Mahu DAK dipertimbangkan pulang ke Malaysia

Santharasekaran berkata, sekiranya penilaian bebas mendapati kebajikan dan keselamatan DAK tidak terjamin, pihak berkaitan perlu mempertimbangkan langkah membawa pulang ketiga-tiga gajah itu ke Malaysia.

Katanya, keputusan berhubung masa depan DAK tidak seharusnya dibuat hanya berdasarkan kepentingan institusi atau kerjasama antara organisasi, sebaliknya perlu mengutamakan kebajikan haiwan.

“DAK ialah sebahagian daripada khazanah hidupan liar Malaysia. Apa juga keputusan mengenai mereka mesti meletakkan kebajikan, keselamatan dan kesihatan gajah sebagai keutamaan.

“Kami mahu Ketua Pengarah Perhilitan tampil menjelaskan keadaan sebenar. Jika perlu, lakukan audit bebas dan bentangkan hasilnya kepada rakyat.

“Jika benar kebajikan mereka terjejas atau terdapat pelanggaran terhadap syarat yang dipersetujui, maka tindakan sewajarnya perlu diambil, termasuk mempertimbangkan penghantaran pulang DAK ke Malaysia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!